Oleh : Daing Siti Norbaity Abd Latif
KUALA TERENGGANU – Negara-negara ASEAN diseru memperkukuh solidariti serantau dalam menghadapi krisis perubahan iklim, khususnya isu kenaikan paras laut yang semakin mendesak.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kenaikan paras laut bukan sekadar isu alam sekitar, tetapi merupakan cabaran masa depan yang menyentuh soal keadilan, identiti dan kelangsungan hidup rakyat di rantau ini.
“Kita tidak boleh lagi menangguh.. laut sedang naik, dan kita semua perlu bangkit kerana ia bukan isu masa hadapan, ini adalah krisis hari ini.
“ASEAN perlu merangka strategi kolektif yang menggabungkan adaptasi iklim, inovasi, pembiayaan mampan serta perlindungan alam semula jadi.
“Daripada pelaburan infrastruktur tahan iklim, perlindungan ekosistem paya bakau, hingga kepada penglibatan belia dan komuniti, kita mesti bertindak dalam semangat bersama,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis makan malam Bengkel ASEAN mengenai Kenaikan Paras Laut di Duyong Marina & Resort, semalam.
Majlis anjuran Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Institut Penyelidikan Air Kebangsaan dan Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan itu menghimpunkan pakar-pakar iklim dari seluruh ASEAN.
Dalam sesi tersebut, para peserta turut diberi penerangan mengenai keperluan penubuhan Group Sea, sebuah kumpulan kerja teknikal serantau bagi menangani isu kenaikan paras laut secara sistematik dan saintifik.
Bengkel tersebut merupakan sebahagian daripada persediaan ASEAN menjelang COP seterusnya, dengan Terengganu menjadi tuan rumah yang menunjukkan komitmen padu terhadap kelestarian alam sekitar.
Ahmad Samsuri yang juga seorang ahli sains dan jurutera menegaskan, cabaran sebenar bukan hanya pada aspek sains dan teknologi, tetapi bagaimana untuk meyakinkan pembuat dasar, ahli politik serta rakyat tentang keperluan bertindak segera.
“Kita perlukan ‘seni meyakinkan yang berterusan’ agar setiap fakta saintifik diterjemahkan kepada dasar yang inklusif dan berkesan,” katanya.