Home Berita PAS Terengganu

Nama pasar payang kekal – MB

20
SHARE

MARANG – Kerajaan negeri tidak berhasrat untuk menukar nama Pasar Payang sebaliknya mahu menjadikan pasar tersebut sebagai pasar utama bagi negeri Terengganu.

Terdahulu, Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mencadangkan Pasar Besar Kedai Payang dijenamakan sebagai Central Market@Pasar Payang agar nilai komersialnya setanding dengan Pasar Seni Kuala Lumpur.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata apa yang dicadangkan oleh pihak menteri atau mana-mana pihak yang memberi cadangan, pihaknya akan mendengar dan meneliti dengan baik apa yang dicadangkan.

“Namun, akhirnya sebarang keputusan itu adalah dari pihak kerajaan negeri.

“Nama Pasar Payang itu sendiri mempunyai susur galur sejarah, budaya dan resam yang unik serta dekat di hati rakyat Terengganu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, Marang semalam.

Tambah Ahmad Samsuri, tiada timbul sebarang perubahan apa-apa dari sudut penjenamaan, namun apa yang kita buat ialah memperkasakan pasar tersebut.

“Iaitu bagaimana kita mengisi Pasar Payang itu supaya menjadi pusat tumpuan masyarakat dari dalam dan luar Terengganu serta antarabangsa.

“Pihaknya akan bekerjasama dengan Kerajaan Pusat melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Pelancongan dan sebagainya.

“Pasar Payang tersebut merupakan ikonik bagi negeri ini sebagai aktiviti pelancongan dan sebagainya sesuai dengan sifat serta sejarahnya di kedudukan tengah negeri Terengganu dan pesisir pantai timur,” ujarnya.