Minda Presiden PAS
[Bil: 44 / 2025]
NAMA NABI IBRAHIM AS DISALAHGUNAKAN BAGI JENAMA AJARAN SESAT
Donald Trump, Presiden Amerika Syarikat yang menang dalam pilihan raya dengan sokongan Yahudi Zionis terus membantu negara haram Israel melakukan keganasan dengan semua jenis senjata secara bertali arus. Kini, dia berlagak menjadi pendamai yang menjadi topeng keselamatannya, dengan agenda perpaduan yang bernama agama Abraham bagi menyatukan tiga agama besar Yahudi, Kristian, dan Islam, kerana dikatakan sama-sama berasal daripada zuriat Nabi Ibrahim AS.
Kalangan agama Musyrikin juga mengaku berasal daripada zuriat Ibrahim AS, termasuk agama Hindu yang melantik Ibrahim AS menjadi salah satu tuhan daripada tuhan mereka yang ramai yang dinamakan Brahma.
Al-Quran, kitab suci terakhir yang diwahyukan kepada Nabi akhir zaman, Nabi Muhammad SAW, yang disebut kelahirannya dalam semua kitab suci pelbagai agama dan oleh para nabi terdahulu, menyatakan firman Allah SWT:
مَا كَانَ إِبۡرَٰهِيمُ يَهُودِيّٗا وَلَا نَصۡرَانِيّٗا وَلَٰكِن كَانَ حَنِيفٗا مُّسۡلِمٗا وَمَا كَانَ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ٦٧
“Ibrahim bukan seorang Yahudi dan bukan (pula) seorang Nasrani, tetapi dia ialah seorang yang lurus lagi berserah diri (kepada Allah), dan sekali-kali bukanlah dia termasuk dalam golongan orang-orang Musyrik.” [Surah Ali ‘Imran: 67]
Ditegaskan dalam ayat di atas bahawa Islam ialah agama Ibrahim AS dan agama semua nabi, termasuk Nabi Ya‘qub, Nabi Musa, dan Nabi ‘Isa AS, bukan beragama Yahudi atau Kristian. Firman Allah SWT:
وَمَن يَرۡغَبُ عَن مِّلَّةِ إِبۡرَٰهِـۧمَ إِلَّا مَن سَفِهَ نَفۡسَهُۥۚ وَلَقَدِ ٱصۡطَفَيۡنَٰهُ فِي ٱلدُّنۡيَاۖ وَإِنَّهُۥ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ لَمِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ ١٣٠ إِذۡ قَالَ لَهُۥ رَبُّهُۥٓ أَسۡلِمۡۖ قَالَ أَسۡلَمۡتُ لِرَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ١٣١ وَوَصَّىٰ بِهَآ إِبۡرَٰهِـۧمُ بَنِيهِ وَيَعۡقُوبُ يَٰبَنِيَّ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰ لَكُمُ ٱلدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسۡلِمُونَ ١٣٢
“Dan tidak ada yang benci kepada agama Ibrahim, melainkan orang yang memperbodoh dirinya sendiri, dan sungguh Kami telah memilihnya di dunia, dan sesungguhnya dia di akhirat benar-benar termasuk orang-orang yang soleh. (130) Ketika Tuhannya berfirman kepadanya, ‘Tunduk patuhlah!’ Ibrahim menjawab, ‘Aku tunduk patuh kepada Tuhan semesta alam.’ (131) Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya‘qub. (Ibrahim berkata), ‘Wahai anak-anakku, sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam!’ (132)” [Surah al-Baqarah: 130–132]
Ayat di atas menegaskan lagi bahawa Ibrahim AS dan nabi-nabi Bani Isra’il adalah Islam, dan Baginda turut mewasiatkan kepada zuriat keturunannya supaya berpegang dengan Islam hingga akhir hayat. Seterusnya, Allah membodohkan sesiapa yang memilih agama yang lain daripada Islam.
Allah menegaskan bahawa Islam sahaja agama yang diterima Allah daripada perkataan al-din. Maka, semua ajaran yang lain, sama ada berjenama agama mahupun ideologi atau teori adalah sesat dan tidak diterima oleh Allah. Firman Allah SWT:
قُلۡ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَمَآ أُنزِلَ عَلَيۡنَا وَمَآ أُنزِلَ عَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِيمَ وَإِسۡمَٰعِيلَ وَإِسۡحَٰقَ وَيَعۡقُوبَ وَٱلۡأَسۡبَاطِ وَمَآ أُوتِيَ مُوسَىٰ وَعِيسَىٰ وَٱلنَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمۡ لَا نُفَرِّقُ بَيۡنَ أَحَدٖ مِّنۡهُمۡ وَنَحۡنُ لَهُۥ مُسۡلِمُونَ ٨٤ وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ ٨٥ كَيۡفَ يَهۡدِي ٱللَّهُ قَوۡمٗا كَفَرُواْ بَعۡدَ إِيمَٰنِهِمۡ وَشَهِدُوٓاْ أَنَّ ٱلرَّسُولَ حَقّٞ وَجَآءَهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُۚ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٨٦ أُوْلَـٰٓئِكَ جَزَآؤُهُمۡ أَنَّ عَلَيۡهِمۡ لَعۡنَةَ ٱللَّهِ وَٱلۡمَلَـٰٓئِكَةِ وَٱلنَّاسِ أَجۡمَعِينَ ٨٧ خَٰلِدِينَ فِيهَا لَا يُخَفَّفُ عَنۡهُمُ ٱلۡعَذَابُ وَلَا هُمۡ يُنظَرُونَ ٨٨ إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُواْ مِنۢ بَعۡدِ ذَٰلِكَ وَأَصۡلَحُواْ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٞ رَّحِيمٌ ٨٩
“Katakanlah, ‘Kami beriman kepada Allah dan kepada apa-apa yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepada Ibrahim, Isma‘il, Ishaq, Ya‘qub, dan anak-anaknya, serta kepada apa-apa yang diberikan kepada Musa, ‘Isa, dan para nabi daripada Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun antara mereka dan hanya kepada-Nyalah kami menyerahkan diri.’ (84) Sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi. (85) Bagaimana Allah akan menunjuki suatu kaum yang kafir sesudah mereka beriman, serta mereka telah mengakui bahawa Rasul itu (Muhammad) benar-benar rasul, dan keterangan-keterangan pun telah datang kepada mereka? Allah tidak menunjuki orang-orang yang zalim. (86) Mereka itu, balasan mereka ialah; bahawasanya laknat Allah ditimpakan kepada mereka, (demikian pula) laknat para malaikat dan manusia seluruhnya. (87) Mereka kekal di dalamnya, tidak diringankan seksa daripada mereka, dan tidak (pula) mereka diberikan tangguh. (88) Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah (kafir) itu dan mengadakan perbaikan, kerana sesungguhnya, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (89)” [Surah Ali ‘Imran: 84–89]
Allah menegaskan dalam al-Quran yang menjadi kitab suci Nabi akhir zaman, bahawa hanya Islam sahaja yang diterima Allah dan semua yang lain adalah kesesatan yang ditolak oleh Allah. Malangnya, ada dalam kalangan negara Islam dan Arab yang berbahasa al-Quran menyokong Amerika Syarikat dan Israel atau menjadi syaitan bisu terhadap kesesatan yang nyata.
Penganut Yahudi menjadi paling dimurkai dan dilaknat oleh Allah kerana menentang para anbiya’ dan membunuh kalangan mereka. Firman Allah SWT:
… وَضُرِبَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلذِّلَّةُ وَٱلۡمَسۡكَنَةُ وَبَآءُو بِغَضَبٖ مِّنَ ٱللَّهِۗ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ كَانُواْ يَكۡفُرُونَ بِـَٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ بِغَيۡرِ ٱلۡحَقِّۗ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّكَانُواْ يَعۡتَدُونَ ٦١
“…Dan mereka mendapat kenistaan dan kehinaan, serta mereka mendapat kemurkaan daripada Allah. Hal itu (terjadi) kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi yang memang tidak dibenarkan. Demikian itu (terjadi) kerana mereka selalu berbuat derhaka dan melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 61]
Sifat orang Yahudi seperti ini diulang beberapa kali dalam surah yang lain, sambil umat Islam diminta supaya memohon kepada Allah agar dijauhkan daripada menjadi seperti mereka, sebagaimana dalam Surah al-Fatihah yang diulangi pada setiap rakaat solat.
Agama Kristian dihukum kafir dan dimasukkan dalam kalangan bukan Islam juga, yang dinyatakan dalam beberapa ayat al-Quran. Antaranya, firman Allah SWT:
لَقَدۡ كَفَرَ ٱلَّذِينَ قَالُوٓاْ إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلۡمَسِيحُ ٱبۡنُ مَرۡيَمَۖ وَقَالَ ٱلۡمَسِيحُ يَٰبَنِيٓ إِسۡرَآءِيلَ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ رَبِّي وَرَبَّكُمۡۖ إِنَّهُۥ مَن يُشۡرِكۡ بِٱللَّهِ فَقَدۡ حَرَّمَ ٱللَّهُ عَلَيۡهِ ٱلۡجَنَّةَ وَمَأۡوَىٰهُ ٱلنَّارُۖ وَمَا لِلظَّـٰلِمِينَ مِنۡ أَنصَارٖ ٧٢ لَّقَدۡ كَفَرَ ٱلَّذِينَ قَالُوٓاْ إِنَّ ٱللَّهَ ثَالِثُ ثَلَٰثَةٖۘ وَمَا مِنۡ إِلَٰهٍ إِلَّآ إِلَٰهٞ وَٰحِدٞۚ وَإِن لَّمۡ يَنتَهُواْ عَمَّا يَقُولُونَ لَيَمَسَّنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِنۡهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ ٧٣
“Sesungguhnya, telah kafir orang-orang yang berkata, ‘Sesungguhnya, Allah ialah al-Masih putera Maryam,’ padahal al-Masih (sendiri) berkata, ‘Wahai Bani Isra’il, sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu!’ Sesungguhnya, orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya Syurga, dan tempatnya ialah Neraka, tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolong pun. (72) Sesungguhnya, kafirlah orang orang yang mengatakan, ‘Bahawasanya Allah salah seorang daripada yang tiga,’ padahal sekali-kali tidak ada Tuhan selain Tuhan Yang Esa. Jika mereka tidak berhenti daripada apa-apa yang mereka katakan itu, pasti orang-orang yang kafir antara mereka akan ditimpa seksaan yang pedih. (73)” [Surah al-Ma’idah: 72–73]
Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱعۡبُدُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُمۡ وَٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ٢١ ٱلَّذِي جَعَلَ لَكُمُ ٱلۡأَرۡضَ فِرَٰشٗا وَٱلسَّمَآءَ بِنَآءٗ وَأَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءٗ فَأَخۡرَجَ بِهِۦ مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ رِزۡقٗا لَّكُمۡۖ فَلَا تَجۡعَلُواْ لِلَّهِ أَندَادٗا وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ٢٢
“Wahai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa! (21) Dialah yang menjadikan bagimu bumi sebagai hamparan dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untukmu. Oleh sebab itu, janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui. (22)” [Surah al-Baqarah: 21–22]
Mereka yang menganut agama syirik lebih sesat daripada Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian).
Allah menegaskan bahawa semuanya bermusuh terhadap umat Islam. Firman Allah SWT:
… وَلَا يَزَالُونَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمۡ عَن دِينِكُمۡ إِنِ ٱسۡتَطَٰعُواْۚ وَمَن يَرۡتَدِدۡ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَيَمُتۡ وَهُوَ كَافِرٞ فَأُوْلَـٰٓئِكَ حَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِۖ وَأُوْلَـٰٓئِكَ أَصۡحَٰبُ ٱلنَّارِۖ هُمۡ فِيهَا خَٰلِدُونَ ٢١٧
“…Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) memurtadkan kamu daripada agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup. Sesiapa yang murtad antara kamu daripada agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalan mereka di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni Neraka, mereka kekal di dalamnya.” [Surah al-Baqarah: 217]
Allah memberikan peringatan dan amaran agar jangan tergoda dengan Ahli Kitab yang menggunakan nama para nabi dan kitab Allah. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تُطِيعُواْ فَرِيقٗا مِّنَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَٰبَ يَرُدُّوكُم بَعۡدَ إِيمَٰنِكُمۡ كَٰفِرِينَ ١٠٠
“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu mengikuti sebahagian daripada orang-orang yang diberikan al-Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang kafir sesudah kamu beriman!” [Surah Ali ‘Imran: 100]
Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تُطِيعُواْ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ يَرُدُّوكُمۡ عَلَىٰٓ أَعۡقَٰبِكُمۡ فَتَنقَلِبُواْ خَٰسِرِينَ ١٤٩
“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu mentaati orang-orang yang kafir itu, nescaya mereka mengembalikan kamu ke belakang (kepada kekafiran), lalu menjadilah kamu orang-orang yang rugi!” [Surah Ali ‘Imran: 149]
Terang lagi bersuluh bahawa meletakkan Islam dalam Abraham Accords (Pakatan Ibrahim) adalah satu penipuan yang halus bagi menyesatkan umat Islam. Itulah kesesatan yang dinyatakan dalam doa kita kepada Allah SWT, memohon pertolongan supaya kita diselamatkan daripadanya:
ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ٦ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ ٧
“Tunjukilah kami jalan yang lurus. (6) (Iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau berikan ni‘mat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat. (7)” [Surah al-Fatihah: 6–7]
Pada masa yang sama, mereka menubuhkan ‘pakatan Ahzab moden’ bagi bersama memerangi Islam. Tindakan tersebut diambil bagi mengelakkan kekalahan dalam menghadapi kumpulan Islam Palestin dan Republik Islam Iran yang dilabelkan sebagai golongan pengganas dan pelampau, padahal merekalah yang mengganas dan melampau, malah dapat disaksikan oleh seluruh pelosok dunia.
Kumpulan Hamas, Tanzim Jihad, Hizbullah, dan Ansarullah yang menegaskan keislaman mereka dianggap pengganas. Pakatan Ahzab moden tetap memerangi Islam tanpa mengira mazhab.
Syiah pada zaman Shah Iran yang menyokong Israel bukan sahaja mengiktirafnya, malah dianggap Islam walaupun penuh kesesatan dan maksiat. Setelah Revolusi Islam menggulingkan Shah Iran dan mengisytiharkan negaranya sebagai negara Islam, di samping melaksanakan syariat bagi menghapuskan maksiat, mereka turut mengharamkan negara Israel serta membantu Palestin yang memperjuangkan Islam dan bermazhab Sunni, tiba-tiba dianggap sesat dan dihukum kafir.
Malangnya, terdapat kalangan negara Islam dan Arab yang memisahkan antara dua kiblat; kiblat solatnya ke arah Kaabah (Rumah Allah) di Makkah, tetapi kiblat politik dan ekonominya ke arah White House (Rumah Putih) serta Bank Dunia (World Bank) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) di Washington, Amerika Syarikat yang memimpin pakatan Ahzab baharu.
Berlakunya mukjizat al-Quran yang menceritakan pakatan Ahzab pada zaman Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ نِعۡمَةَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ جَآءَتۡكُمۡ جُنُودٞ فَأَرۡسَلۡنَا عَلَيۡهِمۡ رِيحٗا وَجُنُودٗا لَّمۡ تَرَوۡهَاۚ وَكَانَ ٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرًا ٩ إِذۡ جَآءُوكُم مِّن فَوۡقِكُمۡ وَمِنۡ أَسۡفَلَ مِنكُمۡ وَإِذۡ زَاغَتِ ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَبَلَغَتِ ٱلۡقُلُوبُ ٱلۡحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِٱللَّهِ ٱلظُّنُونَا۠ ١٠ هُنَالِكَ ٱبۡتُلِيَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَزُلۡزِلُواْ زِلۡزَالٗا شَدِيدٗا ١١ وَإِذۡ يَقُولُ ٱلۡمُنَٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ مَّا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ إِلَّا غُرُورٗا ١٢ وَإِذۡ قَالَت طَّآئِفَةٞ مِّنۡهُمۡ يَـٰٓأَهۡلَ يَثۡرِبَ لَا مُقَامَ لَكُمۡ فَٱرۡجِعُواْۚ وَيَسۡتَـٔۡذِنُ فَرِيقٞ مِّنۡهُمُ ٱلنَّبِيَّ يَقُولُونَ إِنَّ بُيُوتَنَا عَوۡرَةٞ وَمَا هِيَ بِعَوۡرَةٍۖ إِن يُرِيدُونَ إِلَّا فِرَارٗا ١٣ وَلَوۡ دُخِلَتۡ عَلَيۡهِم مِّنۡ أَقۡطَارِهَا ثُمَّ سُئِلُواْ ٱلۡفِتۡنَةَ لَأٓتَوۡهَا وَمَا تَلَبَّثُواْ بِهَآ إِلَّا يَسِيرٗا ١٤ وَلَقَدۡ كَانُواْ عَٰهَدُواْ ٱللَّهَ مِن قَبۡلُ لَا يُوَلُّونَ ٱلۡأَدۡبَٰرَۚ وَكَانَ عَهۡدُ ٱللَّهِ مَسۡـُٔولٗا
١٥
“Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah akan ni‘mat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika datang kepadamu tentera-tentera, lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang tidak dapat kamu melihatnya! Dan Allah adalah Maha Melihat akan apa-apa yang kamu kerjakan. (9) (Iaitu) ketika mereka datang kepadamu dari atas dan dari bawahmu, dan ketika tidak tetap lagi penglihatanmu dan hatimu naik menyesak sampai di tenggorokan, dan kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam purbasangka. (10) Di situlah diuji orang-orang Mukmin dan digoncangkan (hatinya) dengan goncangan yang sangat. (11) Dan (ingatlah) ketika orang-orang munafiq dan orang-orang yang berpenyakit dalam hati mereka berkata, ‘Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kami melainkan tipu daya.’ (12) Dan (ingatlah) ketika segolongan antara mereka berkata, ‘Wahai penduduk Yathrib (Madinah), tidak ada tempat bagimu, maka kembalilah kamu!’ Dan sebahagian daripada mereka meminta izin kepada Nabi (untuk kembali pulang) dengan berkata, ‘Sesungguhnya, rumah-rumah kami terbuka (tidak ada penjaga).’ Dan rumah-rumah itu sekali-kali tidak terbuka, mereka tidak lain hanya hendak lari. (13) Kalau (Yathrib) diserang dari segala penjuru, kemudian diminta kepada mereka supaya murtad, nescaya mereka mengerjakannya; dan mereka tidak akan bertangguh untuk murtad itu melainkan dalam waktu yang singkat. (14) Dan sesungguhnya, mereka sebelum itu telah berjanji kepada Allah SWT, ‘Mereka tidak akan berbalik ke belakang (mundur).’ Dan perjanjian dengan Allah akan diminta pertanggungjawabannya. (15)” [Surah al-Ahzab: 9–15]
Umat Islam menghadapi ujian dengan digoncang iman mereka. Ada yang beristiqamah, malah ada juga yang munafiq dan lemah imannya. Namun, majoriti rakyat umat Islam menunjukkan makin beristiqamah, seterusnya menunjukkan masa depan politik dunia ialah berpihak kepada Islam, yang tanah airnya masih ramai sumber manusia dan banyak sumber ekonominya yang perlu disatukan dengan perpaduan umat.
Serahkan masalah kekhilafan mazhab menjadi perbincangan para ulama’ yang tafaqquh fi al-din, bukan kepada orang awam yang jahil dan media yang terbabas mengikuti arahan musuh Islam bagi memecahbelahkan umat yang pernah menjadi agenda penjajah demi melemahkan umat Islam.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 15 Muharram 1447 / 11 Julai 2025