KUALA TERENGGANU – Prihatin terhadap nasib mangsa tragedi nahas bas yang mengorbankan pelajar-pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Kerajaan Negeri Terengganu hari ini mengumumkan bantuan khas one-off berjumlah RM78,000 kepada mereka yang terlibat.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan itu meliputi RM3,000 kepada setiap keluarga 15 mangsa yang terkorban.
Katanya, ia juga melibatkan bantuan RM1,000 kepada 33 pelajar yang cedera dalam insiden yang berlaku di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Perak, baru-baru ini.
“Sebanyak RM1,000 telah pun disalurkan lebih awal kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia.
“Baki akan disampaikan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan rasmi hari ini.
Jelas Ahmad Samsuri, keputusan penyaluran bantuan khas itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang berlangsung hari ini.
“Kerajaan Negeri turut merakamkan rasa dukacita yang mendalam terhadap tragedi ini.
“Kita menyeru seluruh rakyat Terengganu agar terus mendoakan kesembuhan mangsa yang masih dirawat dan ketabahan buat semua ahli keluarga yang terkesan,” jelas beliau.