TAIPING – Seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Liyana Zanudin, 23, yang cedera parah dalam nahas bas di Jalan Raya Timur Barat dekat Gerik baru-baru ini, kini dilaporkan stabil selepas menjalani dua pembedahan bagi merawat kecederaan serius pada bahagian tangan kirinya.
Pegawai Perubatan Ortopedik Hospital Taiping, Dr. Arvind Rao berkata, mangsa mengalami luka terbuka parah sehingga menampakkan tulang yang patah, selain kehilangan sebahagian besar kulit di bahagian hadapan dan belakang tangan.
“Dalam pembedahan pertama, kami membersihkan luka dan memasukkan besi untuk menstabilkan tulang patah. Dua hari kemudian, kami lakukan pembedahan kali kedua apabila luka didapati belum menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan.
“Namun, selepas pemeriksaan pagi ini, luka kelihatan lebih bersih dengan aliran darah yang baik. Ini satu petanda positif terhadap proses penyembuhan,” katanya ketika ditemui di Hospital Taiping, semalam.
Tambahnya lagi, pemulihan penuh dijangka mengambil masa antara tiga hingga enam bulan kerana kecederaan turut melibatkan struktur tulang dan saraf.
“Saraf yang tercedera dijangka pulih dalam tempoh lima hingga enam minggu, bergantung kepada tindak balas tubuh pesakit terhadap rawatan. Besi yang dipasang buat masa ini hanyalah sementara. Selepas risiko jangkitan menurun barulah kami akan mempertimbangkan prosedur susulan untuk pemasangan besi dalaman secara kekal,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa tahap kesakitan yang dialami mangsa kini berkurangan dengan kawalan ubat tahan sakit dan pesakit menunjukkan tanda-tanda stabil untuk dipertimbangkan bagi discaj dalam masa terdekat.
“Kami pantau luka setiap hari. Jika tiada lagi keperluan untuk ubat tahan sakit yang kuat dan keadaan pesakit kekal stabil, kemungkinan besar beliau akan dibenarkan keluar hospital esok atau lusa,” katanya.
Jelas Dr. Arvind lagi, keluarga mangsa juga telah membuat permohonan pemindahan ke Terengganu bagi membolehkan rawatan susulan dilakukan lebih dekat dengan kediaman mereka.
Mengulas keadaan emosi pesakit, Dr. Arvind berkata, Nur Liyana masih dalam keadaan trauma dan terkesan dengan apa yang berlaku.
Dalam pada itu, kakak mangsa, Shafiqatul Najwa Zanudin, 27, memaklumkan urusan membawa adiknya pulang ke Terengganu sedang dibincang melibatkan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri.
Menurutnya, keadaan Nur Liyana yang masih trauma memerlukan pertimbangan rapi termasuk cadangan menggunakan helikopter untuk pemindahan.
Mengimbau detik cemas yang dialami keluarga mereka, Shafiqatul berkata, pada sekitar jam 3 pagi, mereka menerima panggilan telefon daripada ayah memaklumkan bas dinaiki Nur Liyana kemalangan.
“Ayah cuma beritahu kena terus ke hospital (di Perak) tanpa nyatakan keadaan sebenar,” katanya.
Jelasnya, dalam perjalanan, mereka sempat melihat satu hantaran di Facebook adik bongsu yang menyebut Nur Liyana duduk di bahagian kiri bas, lokasi kebanyakan mangsa tercedera parah.
“Memang terasa antara hidup dan mati. Abang sulung keluarga yang tiba terlebih dahulu di Hospital Gerik terus ke Jabatan Kecemasan dan bertanya kepada petugas mengenai keberadaan adiknya.
“Mula-mula tak jumpa. Tapi bila diberi petunjuk berdasarkan warna kulit pesakit, alhamdulillah, dia masih bernyawa. Allah beri peluang kedua untuk hidup,” katanya sebak.