Home Berita PAS Terengganu

Nahas Pelajar UPSI: Bantuan segera RM2,000 tanda kasih

9
SHARE

SETIU – Empat keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi meratap pemergian anak-anak tersayang dalam nahas bas Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang meragut 15 nyawa.

Dalam suasana duka itu, Kerajaan Terengganu tampil menghulurkan bantuan segera berjumlah RM2,000, masing-masing RM1,000 daripada kerajaan negeri dan RM1,000 lagi dari Pejabat ADUN Jabi, sebagai tanda kasih kepada keluarga mangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, bantuan itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap penderitaan rakyat.

“Saya merakamkan ucapan takziah dengan rasa simpati yang mendalam kepada semua 15 mangsa yang terkorban dalam kemalangan bas UPSI.

“Khususnya empat orang mangsa daripada DUN Jabi,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga mangsa di sekitar Jabi, di sini hari ini.

Beliau turut menyifatkan pemberian itu bukan sekadar bantuan material, tetapi tanda kehadiran kerajaan di sisi rakyat dalam saat paling getir.

“Walaupun sumbangan ini tidak dapat mengubati kesedihan, tapi sebagai tanda kita bersama di waktu-waktu sukar sebegini,” ujar beliau.

Empat pelajar yang terkorban dikenal pasti sebagai Allahyarhamah Fatin Nasrien dari Kampung Kerandang, Allahyarhamah Nur Ainul Qistina dari Kampung Anak Ikan, Allahyarhamah Nur Dalila Farhana dari Kampung Banggol Tok Dor dan Allahyarhamah Nurly Sahirah dari Kampung Gong Pasir, kesemuanya mahasiswa UPSI yang sedang menuntut dalam pelbagai semester.

“Mereka adalah anak-anak permata Jabi yang diharapkan mampu menjadi pendidik anak bangsa, tapi Allah lebih menyayangi mereka.

“Saya ucapkan takziah yang sangat bersangatan,” ucap nya penuh hiba.

Dalam masa sama, ADUN Jabi turut menzahirkan penghargaan kepada semua yang membantu menguruskan jenazah mangsa.

“Jazakumullahu khairan jaza kepada semua pihak yang membantu dari awal sehingga selamat disempurnakan di tanah perkuburan.

“Semua ini insya-Allah akan diganjari Allah dengan ganjaran yang melimpah,” katanya.