Home Berita PAS Terengganu

Nahas bot : Terengganu cadang Jabatan Laut tarik lesen

6
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri akan mencadangkan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak pengusaha industri pelancongan yang mengingkari prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, khususnya pelancongan maritim.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, cadangan tersebut disuarakan susulan daripada tragedi bot pelancongan terbalik di laut akibat dipukul ombak dalam perjalanan dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar, pada Sabtu.

“Mana-mana pengusaha, sama ada pengusaha bot atau chalet yang mempunyai bot berlesen dan berlaku kemalangan serta ‘pilot’ (tekong bot) terkait dengan bahan-bahan terlarang maka kita (kerajaan negeri) akan cadang kepada Jabatan Laut supaya Jabatan Laut tarik balik lesen tersebut.

“Dalam kes ini, yang lesen (pengusaha) bot kita cadang kepada Jabatan Laut supaya menggantung atau menarik lesen itu. Dan untuk masa yang akan datang pun kita akan buat SOP macam itu.

“Jadi apabila terkait sahaja dengan barang terlarang kita akan ‘ban’, dan insya-Allah kita akan berbincang dengan Jabatan Laut untuk menarik balik atau menggantung lesen dia dan individu (tekong bot) itu kita akan serah kepada polislah,” katanya.

Razali berkata demikian kepada pemberita dalam satu sesi sidang media di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Razali memaklumkan bahawa pihaknya berjaya mengenalpasti kesalahan lain yang telah dilanggar oleh pengusaha dan tekong terbabit ketika menjalankan servis walaupun telah mendapat permit dan mempunyai vesel laut berlesen.

“Seperti saya difahamkan, penumpang dia 15 orang. Melebihi had. Sepatutnya bot dia itu 10 orang penumpang sahaja dan satu ‘pilot’ dan satu ‘co-pilot’.

“Dia juga langgar peraturan lain, dia langgar peraturan tidak memakai jaket keselamatan dan keluar pada waktu malam.

“Dia tidak ada permit untuk keluar malam sebenarnya, keluar malam ini ada permit kalau dia mohon dengan Jabatan Laut dan ada syarat-syarat tertentu, tapi dia tidak mohon dan dia (didapati) guna bahan terlarang,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan tragedi bot karam di Pulau Perhentian yang membawa 15 penumpang telah mengorbankan tiga penumpang di tempat kejadian termasuk dua kanak-kanak.

Manakala, seorang kanak-kanak berumur enam tahun dalam keadaan kritikal kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Dalam perkembangan sama, pemandu bot dalam kejadian itu, direman tiga hari bermula hari ini.

Suspek, 22, yang dibawa ke Mahkamah Majistret Setiu direman sehingga Rabu atas kesalahan berkaitan dadah.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nurliyana Md Zukri mengikut Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1957.