Home Artikel PAS Selangor

Nadi Selangor by Roslan SMS – Sepatutnya Banjir Di Selangor Tidak Lagi Berlaku

440
SHARE

Hujan yang turun lebat beberapa hari lalu telah sekali lagi mengakibatkan banjir kilat disekitar Negeri Selangor. Selain kawasan yang sering menjadi mangsa umpamanya di Hulu Langat, beberapa kawasan di Gombak, Hulu Selangor, dan Sepang turut terjejas.

Melihat gambar-gambar kawasan yang terjejas di media arus perdana serta media sosial ramai yang menyangkakan ianya berlaku di Pantai Timur. Di Pantai Timur fenomena banjir ini berkait rapat dengan musim monsun iaitu monsun Timur Laut yang sering melanda Pantai Timur Semenanjung antara bulan November ke Mac saban tahun. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia Musim Monsun Timur Laut merupakan musim hujan utama negara kita. Tetapi apa yang berlaku ini, bukan kali pertama dalam di Negeri Selangor, negeri yang paling maju di Malaysia.

Kita tidak menolak punca hujan lebat sebagai faktor utama, tetapi apakah langkah Kerajaan Negeri untuk mengatasi bencana ini? Mana pergi pakar-pakar dan para perancang Kerajaan Negeri, Menteri Besar dan EXCO nya sehingga rakyat jelata menjadi mangsa tiap kali hujan turun lebat walaupun Selangor ini duduknya di Pantai Barat.

Akibat kegagalan memperkenalkan pelan tebatan banjir yang berkesan, maka rakyat jelata menjadi mangsa yang mengakibatkan harta benda dan rumah rosak serta kehidupan harian terganggu sedangkan Selangor sebuah negeri maju.

Belanjawan 2020 untuk Negeri Selangor adalah sebanyak RM2.33 bilion iaitu antara belanjawan terbesar dalam Negara, dan 48.56% atau RM1.133 bilion diperuntukkan untuk belanja pembangunan. Berapa banyak peruntukan yang dibelanjakan untuk program tebatan banjir, tidak ada? Atau jika ada mengapa ia masih berulang dan menjejaskan kehidupan rakyat?

Kerajaan Negeri khasnya Menteri Besar dan EXCO yang berkaitan bertanggungjawab ke atas rakyat Negeri Selangor khususnya mereka yang terjejas akibat banjir ini. Jangan duduk senang-lenang di pejabat masing-masing tetapi turunlah ke lapangan dan pastikan program yang berkesan segera diperkenalkan. Jangan lagi menyusahkan rakyat akibat kegagalan masing-masing menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik.

Roslan Shahir Dato Mohd Shahir
Setiausaha
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

29 Zulkaedah 1441H | 20 Julai 2020

#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemimpinPerpaduan