Home Berita PAS Selangor

Nadi Selangor by Roslan SMS – Larangan Arak Terhadap Umat Islam : Apa Langkah MB?

735
SHARE

Menteri Besar Selangor semalam melancarkan kempen larangan menghisap rokok dan meminum arak di taman-taman awam seluruh Selangor. Matlamatnya menurut beliau adalah untuk membina persekitaran yang selamat dan sihat buat para pengguna taman-taman ini khasnya dikalangan warga emas dan kanak-kanak.

Namun demikian kerajaan negeri tidak akan mengambil tindakan terhadap para pesalah buat masa ini. Sebaliknya tempoh dua atau tiga bulan percubaan untuk mendidik semua pengguna taman-taman awam terhadap larangan ini akan dilakukan selepas itu barulah tindakan menyaman diambil di bawah Undang-Undang Kecil Taman Awam 2006.
Merokok dan meminum arak ini sudah diketahui umum sebagai tabiat buruk yang membawa mudharat kepada kesihatan dan ketenteraman awam. Oleh itu agak pelik apabila Menteri Besar masih memerlukan tempoh cubaan sebelum menguatkuasakan larangannya di taman-taman awam kononnya atas alasan memberi Pendidikan.

Adakah kita perlu menunggu perkara buruk dan insiden tidak diingini berlaku sebelum mahu bertindak?Bagi mereka yang merokok peraturan sedia ada telah pun melarang mereka mengamalkan tabiat ini di restoran dan kedai-kedai makan selain komplek dan pusat membeli-belah, pam-pam minyak, pejabat, panggung wayang, tempat awam seperti R&R dan lain-lain. Mengapa MB Selangor perlu beri tempoh di taman-taman awam?

Manakala meminum arak di tempat-tempat awam ini memang dilarang oleh kebanyakkan pihak berkuasa termasuklah negara jiran Singapura. Mengapa Selangor perlu kononnya mendidik para peminum arak ini terlebih dahulu sedangkan bahayanya kepada masyarakat awam juga besar terutama jika ada insiden yang mabuk di taman-tamabn awam.

Sementara itu suka diingatkan MB Selangor yang juga memegang portfolio Hal Ehwal Agama Islam, bahawa di negeri ini Seksyen 18 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 melarang umat Islam meminum arak di mana-mana kedai atau tempat awam di negeri ini dan boleh dedenda tidak lebih RM3,000 atau dipenjarakan tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Sesungguhnya larangan ke atas umat Islam ini bukan sekadar meminum malah menjual, mempamir dan mempromosi arak dan minuman memabukkan juga salah mengikut Seksyen 18 (2) enakmen berkenaan dan boleh didenda dan dipenjara jika sabit kesalahan.
Apakah usaha MB Selangor dalam menguatkuasakan peraturan ini dan menyelamatkan umat Islam dari terjerumus dalam amalan yang diharamkan agama ini?
Mengapa arak dan minuman memabukkan ini masih dibenarkan dijual di premis kedai serbaguna, pasaraya dan lain-lain termasuklah di kawasan majoriti umat Islam sedangkan anak-anak Melayu yang berkerja dipremis ini telah jelas melakukan kesalahan di bawah enakmen ini.

Mengapa tiada cadangan atau usaha proaktif MB Selangor yang juga bertanggungjawab dalam hal ehwal Agama Islam dalam hal ini? Takkanlah dalam mengurus nasib dan kebajikan serta hal ehwal umat Islam di Selangor, MB perlu tanya dan minta sokongan DAP? Mohon MB kerajaan PH Selangor memberi respon, kerana umat Islam negeri ini mahu tahu.

Tuan Hj Roslan Shahir Dato Mohd Shahir
Setiausaha
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

20 Zulhijjah 1441H | 10 Ogos 2020

#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemimpinPerpaduan