Tuanku Sultan Selangor menitahkan sempena sambutan 50 tahun penggubalan Rukunegara, prinsip-prinsip yang terkandung di dalamnya perlulah diamalkan sebaiknya oleh rakyat agar dapat kembali menyemai semangat patriotisma atau cinta dan banggakan negara dikalangan rakyat.
Prinsip-prinsip ini jelas merupakan kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum demi kejayaan dan kestabilan Malaysia. Rukunegara ini dicipta oleh kerajaan Persekutuan sejurus selepas negara dilanda peristiwa hitam 13 Mei 1969 iaitu rusuhan kaum yang tercetus akibat dari politik perkauman yang ekstrim yang diamalkan oleh parti-parti politik sebelum dan semasa kempen PRU ke 3, 10 Mei 1969.
Kerana tamak dan gilakan kuasa, segala pertimbangan dan perikemanusiaan hilang, rakyat diadu-domba dan api perkauman disemarakkan, akibatnya berlakulah permusuhan dan tercetus pergaduhan sesama rakyat sehingga mengakibatkan kematian, kecederaan dan rosak harta benda.
Rukunegara merupakan ikrar keramat yang mendidik rakyat agar berpegang teguh kepada agama, selain memberikan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Raja dan Negara. Ia berhasrat membentuk rakyat Malaysia yang berdisiplin, yang cintakan agama dan negaranya serta mematuhi dan mendaulatkan Perlembagaan dan undang-udang serta peraturan negara.
Dengan mendaulatkan Rukunegara, dan berlatarbelakangkan pengajaran sejarah yang silam, rakyat diunjurkan untuk hidup secara harmoni bersama dengan penuh sopan dan susila, tanpa ada sikap prejudis dan buruk sangka sesama rakyat Malaysia, apatah lagi mencabar dan mempertikaikan hak masing-masing yang telah sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Justeru untuk negeri Selangor khasnya titah Tuanku Sultan ini wajar dijadikan peringatan dan pedoman dalam kita mengejar kemajuan, jadikan Rukunegara sebagai panduan hidup bernegara dan bermasyarakat agar negeri Selangor dan negara kita Malaysia akan menjadi tanah yang subur dengan keamanan sehingga boleh menjana kesejahteraan dan kekayaan buat rakyatnya, stabil berteduh di bawah payung Tuanku yang sangat prihatin dan penyayang itu.
Tuan Hj Roslan Shahir Dato Mohd Shahir
Setiausaha
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
2 Zulhijjah 1441H | 23 Julai 2020
#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemimpinPerpaduan