Home Berita PAS Selangor

Nadi Selangor by Roslan SMS – Bilakah giliran Selangor?

1074
SHARE

Tuan Hj Roslan Shahir Dato Mohd Shahir
Setiausaha
Badan Perhubungan PAS Selangor

Sejak peralihan kuasa di peringkat Persekutuan serta bertukarnya kerajaan negeri-negeri Johor, Melaka, Perak dan Kedah, ramai tertanya-tanya bila pula giliran Selangor.

Selangor mempunyai 56 kerusi Dewan Negeri dan kerajaan Pakatan Harapan Negeri hari ini menguasai 41 kerusi iaitu melalui PKR 17, DAP 16 dan Pan 8. Manakala dipihak pembangkang ada 15 kerusi iaitu BN-Umno 5, Bersatu 5, Geng Datuk Seri Azmin 4 dan PAS 1.

Ini bermakna jika sekiranya blok pembangkang disertai oleh sekurang-kurangnya 13 ADUN kerajaan maka kerajaan PH telah hilang majoriti dan apa yang berlaku di Johor, Melaka, Perak dan Kedah boleh juga berlaku di Selangor.

Mungkin angka 13 itu nampak terlalu besar selisihnya tidak seperti negeri-negeri lain yang dinyatakan tadi. Namun demikian hari ini sentimen rakyat tidak lagi sebagaimana pada Pilihan Raya Umum ke 14 dahulu. Jika dahulu rakyat berderu-deru menyokong dan memberi kepercayaan kepada PH lantaran terpaku dan terpesona pada janji-janji pilihanraya mereka, hari ini tidak lagi.

Sejak kejatuhan kerajaan PH diperingkat Persekutuan, rakyat tidak protes, malah mengalu-alukannya pula dan ini kerana sepanjang 22 bulan pemerintahan PH di Putrajaya, rakyat melihat PH telah gagal melaksanakan janji-janji yang ditaburkan pada mereka semasa merayu untuk mendapat mandat dahulu.

Janji penghapusan tol, menaikkan taraf hidup rakyat, PTPTN, harga minyak dan banyak lagi tidak berjaya dilunaskan, lantas rakyat cukup kecewa dan rasa tertipu. Apatah lagi dalam pada itu DAP yang memiliki dominasi besar dalam kerajaan lebih ghairah mahu melaksanakan cita-cita politik mereka termasuklah agenda “Malaysia Malaysia” dan mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara sekular.

Akibatnya rakyat rasa menyesal kerana mengundi PH lantas menununggu-nunggu peluang untuk keluar dari belenggu mereka. Kerana itulah sejak jatuh PH di Putrajaya dan di empat negeri lain, PH tidak langsung dibela sebaliknya rakyat terus memberikan pengharapan dan keyakinan pada kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Inilah norma politik baru di Malaysia hari ini dan Selangor tidak terkecuali.

Tidak mustahil tekanan dari rakyat dan perkembangan politik semasa boleh memaksa ADUN kerajaan memikir semasak-masaknya keutamaan hidup dan perjuangan mereka. Desas-desus mengatakan bahawa beberapa ADUN PH di Selangor bakal mengikuti jejak rakan-rakan mereka bagi memantapkan blok pembangkang dan tidak mustahil menegakkan kerajaan baru Perikatan Nasional di Selangor pula.

Jika di peringkat Persekutuan dan 4 negeri tadi kita boleh mematahkan dominasi DAP dalam kerajaan, mengapa tidak di Selangor?

Sama-samalah kita mendoakan agar norma baru politik Malaysia akan turut melanda Selangor dalam waktu terdekat.

#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemimpinPerpaduan

#MalaysiaSejahtera
#MuafakatNasional