Home Pedoman Haraki

Nabi Sulaiman Tegas Menghalau Pelobi

556
SHARE

 NABI SULAIMAN TEGAS MENGHALAU PELOBI

Di dalam lipatan sejarah menyaksikan Islam turut berdepan dengan cabaran secara halus. Ia bersifat membius dan mengkhayal agar gerakan Islam berada di bawah pengaruh pelobi.

TAKTIK ZAMAN-BERZAMAN.

Al-Quran telah menceritakan kisah Nabi Sulaiman yang bertegas dengan prinsip Islam agar Balqis menuruti ajaran Islam. Ketika itu Balqis cuba menundukkan Nabi Sulaiman dengan hadiah bermotif suapan.

“Sesungguhnya aku (Balqis) mengutuskan kepada mereka (kerajaan Nabi Sulaiman) dengan habuan hadiah. Maka lihatlah apa hasil yang dicapai sekembalinya utusan tersebut” al-Naml 35.

Nabi Sulaiman adalah contoh Nabi yang berpolitik sehingga berjaya menguasai dunia. Baginda tidak naif bersikap ‘asalkan orang hulur, maka boleh ambil’. Bahkan baginda cekap membaca motif di sebalik setiap pemberian. Itulah realiti politik zaman-berzaman. Nabi Sulaiman menegaskan;

“Apakah kamu cuba menyogok aku dengan harta? Maka apa yang telah Allah berikan padaku lebih baik dari sogokan yang kamu hadapkan. Bahkan kamu cukup suka dengan hadiah kamu” – al-Naml 36.

HALAU PELOBI.

Setelah Nabi Sulaiman mendedahkan bahawa sogokan itu sangat memperdaya, baginda terus menghalau pelobi yang dihantar oleh Balqis; 

“Berambuslah kamu kembali kepada mereka. Kami pasti menghantar tentera yang tidak dapat dikalahkan mereka. Dan kami pasti akan mengeluarkan mereka dalam keadaan hina dan sedangkan mereka lekeh” al-Naml 37.

Tanpa berkompromi, Nabi Sulaiman terus menutup pintu lobi. Ketegasan inilah yang dikagumi oleh Balqis. Ternyata maruah yang mahal merupakan daya tarikan da’wah. Akhirnya Balqis memeluk Islam.

Namun seandainya Nabi Sulaiman menerima sogokan Balqis, sudah pasti Balqis tidak memeluk Islam. Hal ini kerana Nabi Sulaiman pasti dilihat sangat tidak berintegriti. Sekaligus Balqis akan menganggap Nabi Sulaiman tidak serius membawa Islam kerana mudah dibeli dengan harta.

RASUAH TETAPI DIPANGGIL HADIAH.

Dari potongan surah al-Naml di atas, al-Quran mengulangi dialog Balqis yang cuba mengolah rasuah dengan panggilan hadiah. Sebanyak 2 kali Allah mengulangi kalimah ‘hadiah’ ketika menggambarkan cubaan rasuah ke atas Nabi Sulaiman.

Perlu disedari, sampai bila-bila pengamal rasuah tidak akan mengaku mereka memberi atau menerima rasuah. Mereka akan menghias sogokan rasuah dengan panggilan hadiah, imbuhan, pelincir atau seumpamanya. Usah tunggu pengamal rasuah mengaku bahawa perbuatan mereka adalah rasuah.

PERCAYAKAN HUDHUD.

Antara faktor yang membina kesedaran Nabi Sulaiman adalah aduan dari burung Hudhud.

Terzahir sikap politik baginda, lebih mempercayai kebimbangan Hudhud yang hanya merupakan pengikut biasa. Seekor burung kerdil yang kelihatan lekeh tiada pangkat kebesaran. Berbanding pelobi Balqis yang datang segak bergaya membawa berkoyan-koyan habuan material.

Itulah amalan politik para Nabi & Rasul. Mendahulukan pengikut sendiri, berwaspada dengan orang luar. Jika berlaku sebaliknya, pasti akan menjerumuskan kita ke dalam bahaya.

ISLAM TIDAK MENANG DENGAN BIAYA MUSUH.

Lihatlah sejarah yang tersedia. Siri-siri kemenangan Islam adalah ketika gerakan dan pendukungnya dalam keadaan serba kekurangan dari sudut material.

Generasi yang menang adalah yang kaya jiwa dan maruah. Mereka tidak boleh ditundukkan. Biarpun serba kekurangan asalkan tidak terhutang budi. Tuan Guru Haji Abdul Hadi apabila disoal tentang topik ini, beliau menjawab;

“Jangan cuba-cuba makan budi orang. Kita ada maruah, mesti berdikari sendiri. Al-Marhum Ustaz Hasan Shukri dahulu pernah ditawar habuan oleh pihak (yang disyaki) dari intelijen asing, beliau tegas menolak!”

Adapun bermewah menikmati sogokan pelobi amat bercanggah dengan sifat kemenangan Islam. Bahkan demikian merupakan petanda malapetaka yang menimpa ketulenan sebuah perjuangan Islam.

TOLAK RASUAH, NIKMATI GHANIMAH

Islam menolak amalan rasuah. Sogokan ketika persaingan sedang berlangsung. Pemberian yang diberi oleh pihak yang berkepentingan. Guna untuk membeli, mempengaruhi dan memperalat.

Adapun setelah menang, ambillah habuan dari hasil kejayaan menumpaskan musuh. Jika amalan menerima habuan dari musuh dianggap halal sedangkan pertempuran sedang berlangsung, maka apakah hikmah dihalalkan ghanimah?

IKTIBAR SEJARAH.

Banyak lagi contoh sejarah yang boleh diselitkan. Cuma kisah Nabi Sulaiman menghalau pelobi di dalam surah al-Naml agak terperinci plotnya. Membuka mata kita tentang ajaran politik para Nabi & Rasul.

Yang pasti, tangan yang berada di atas pasti akan menguasai tangan yang berada di bawah.

Abdul Mu’izz Muhammad,
11 Julai 2017.

{jathumbnail off}