Home Berita PAS Pulau Pinang

MUSLIMAT SIMPATI NASIB PENDUDUK PPR TAMAN MANGGIS

1638
SHARE

Oleh: Ummu Al – Fateh

KEPALA BATAS: Seramai empat orang AJK DMPN Pulau Pinang dan dua orang Briged Bakti telah hadir ke Kompleks Tun Abdul Razak(KOMTAR) pada petang Jumaat 8 Mac 2019 bagi menyantuni mangsa yang diusir dari rumah sewa mereka di PPR Taman Manggis.

Rombongan yang diketuai oleh Ketua DMPNPP, Ustazah Hasanah Idrus berhasrat ingin meninjau serta menyelami sendiri masalah sebenar mangsa-mangsa yang miskin tanpa mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak kerajaan negeri.

Ketika sesi ziarah, mereka telah tiga hari menumpang teduh di kaki lima bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) dengan diberi bantuan makanan serta keperluan lain oleh pihak PAS serta pelbagai NGO yang bersimpati dengan nasib malang mereka.

Golongan miskin bandar tersebut meluahkan masalah had kelayakan tinggal di perumahan itu hanya bagi mereka yang berpendapatan bawah RM 1500.

Syarat ini adalah tidak wajar lagi pada waktu ini, kerana kos hidup mereka sekarang jauh berbeza lebih tinggi berbanding dengan 10 tahun lalu.

Mengimbau saat mereka diusir keluar dengan kekasaran serta tanpa melalui rundingan adalah amat menyedihkan.

Mereka ketika itu diperlakukan seperti pendatang asing bukan anak bumi pertiwi dengan dihalau dalam keadaan sehelai sepinggang tanpa secebis rasa kemanusiaan.

Sementara itu, anak-anak kecil mereka yang pulang dari sekolah turut menangis kesayuan, takut dan bingung tanpa mengerti sebab mereka diperlakuan sedemikian, sedangkan anak-anak kecil itu ingin berehat setelah keletihan di sekolah.

Semasa ziarah tersebut, masih terdapat lapan keluarga miskin seumpama gelandangan menumpang teduh di bawah bumbung KOMTAR dengan berbekalkan sumbangan tikar, bantal serta khemah kerana tiada tempat perlindungan lain buat mereka menumpang.

Muslimat yang hadir tersentuh dengan keadaan seorang ibu yang mengasuh lapan orang anak kecil di kaki lima itu dan seorang ibu yang lain yang mempunyai anak kembar berusia sepuluh bulan berjuang dengan anak-anak mereka demi mendapat pembelaan dengan sebuah kediaman.

Rata-rata mereka yang ditemui tidak berhajat kepada sesuatu keperluan yang lain. Mereka hanya mahu sebuah rumah seperti juga keluarga orang lain untuk mereka berteduh terutama bagi mempunyai ahli keluarga yang sakit dan anak-anak kecil.

Pada akhir pertemuan, Ustazah Hasanah berkesempatan menyampaikan sumbangan tanda simpati daripada Dewan Muslimat PAS Negeri P.Pinang kepada semua keluarga yang kurang bernasib baik itu.

Beliau turut memberi motivasi serta berdoa agar Allah SWT memberikan jalan keluar yang sebaiknya kepada permasalahan mereka dengan kadar yang segera.