Home Artikel PAS Sabah

Muslimat PAS Rai Golongan Asnaf Papar

246
SHARE

Oleh : Nurizyan Haziqah Hussin
26 November 2019

PAPAR : Jelajah Prihatin 3.0 yang telah diadakan pada hari Sabtu baru-baru ini meraikan lebih 100 orang penduduk asnaf dari beberapa buah kampung di daerah Papar Sabah.
Program tahunan ini merupakan anjuran Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan (LKK), Lajnah Dakwah (LD), Jabatan Pilihan Raya Muslimat (JPRM) dan Unit Musmedik Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah (DMPNS).

Kesinambungan daripada kejayaan melaksanakan Jelajah Prihatin 1.0 di Pitas pada tahun 2017 dan Jelajah Prihatin 2.0 di pedalaman daerah Ranau pada 2018 membawa misi ini untuk diteruskan lagi di daerah Papar.

Program yang dimulakan dengan Kuliah Dhuha bertajuk ” Fadhilat Mencintai Rasulullah SAW ” yang disampaikan oleh Ustaz Azman Jupri, Ketua Urusan Ulama merangkap Ketua Lajnah Dakwah PAS Kawasan Papar, bertempat di Dewan Serbaguna Surau Kg.Berundung telah menarik minat dan perhatian para hadirin.

Sebanyak 112 set bantuan persekolahan telah disampaikan oleh pimpinan-pimpinan muslimat negeri yang hadir iaitu Nur Izzati Yusof ( LKK ), Nusaibah Bukhari ( LD ) dan Norjannah Jamjam ( JPRM ) termasuk YDP PAS Kawasan Papar, Haji Salim Bin Abd Karim dan juga Ketua Muslimat DMPK Papar, Siti Aishah Abd Rahman.

Selain penyampaian bantuan persekolahan dan kuliah dhuha, para tetamu yang hadir turut dihidangkan dengan jamuan sarapan pagi dan juga khidmat pemeriksaan percuma yang diberikan oleh Unit Musmedik DMPNS.

Usai majlis tersebut, program diteruskan dengan ziarah kebajikan dan dakwah, di Kampung Kuala Papar diketuai oleh pimpinan daripada DMPNS, diiringi muslimat DMPK Papar, Jabatan Amal dan Briged.

Sebanyak 30 buah keluarga dan rumah asnaf seperti fakir miskin, orang tua, ibu tunggal, pesakit kronik dan lain-lain telah disantuni oleh wakil-wakil pimpinan muslimat negeri mengikut kumpulan yang telah dibahagikan.

Edaran risalah tentang Nabi Muhammad SAW sempena memperingati bulan Rabi’ul Awal ( Maulidur Rasul ) serta poster panduan Wudhu’ dan Solat terbitan Lajnah Dakwah Dewan Muslimat PAS Malaysia turut diberikan semasa program ziarah kebajikan berlangsung.

Rata-rata penduduk yang ditemui melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT dan mereka amat berterima kasih dengan kehadiran ziarah dan sumbangan yang telah disampaikan oleh wakil-wakil Muslimat PAS Negeri Sabah dan PAS Kawasan Papar.

Rawatan syifa’ iaitu rawatan perubatan Islam turut diberikan selain rawatan doktor perubatan daripada Unit Musmedik DMPNS.

“Sumbangan Back To School dan sumbangan barang dapur asnaf adalah hasil sumbangan orang ramai. Pihak penganjur berharap sumbangan-sumbangan yang diberikan dapat meringankan beban ketua-ketua keluarga dalam menampung kos hidup yang semakin meningkat” ujar Nur Izzati Yusof.

Turut hadir untuk menjayakan misi Jelajah Prihatin ini adalah AJK Dewan Pemuda PAS Kawasan Papar, AJK Dewan Muslimat PAS Kawasan Papar, wakil Jabatan Amal Malaysia, Briged Muslimat dan juga barisan Ajk Jelajah Prihatin 3.0 dari pelbagai pelusuk kawasan negeri Sabah, iaitu Kota Belud, Sandakan, Tuaran, Tawau, Kalabakan dan Kunak.