Home Berita PAS Pahang

Muslimat PAS Kuantan santuni calon SPM, STAM DAN STPM

68
SHARE

Oleh : FARIDAH KAMARUDDIN

KUANTAN, 10 Jan : Dewan Muslimat PAS Kuantan (DMPK) telah mengadakan program Ziarah Kasih Pelajar, kepada calon-calon yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di Kampung Razali dan Sungai Isap 2 di sini semalam.

Program itu telah bergerak ke beberapa cawangan sebelum ini bermula dari awal tahun iaitu di Pusat Bandar, Batu 3, Kampung Belukar, Kampung Sungai Isap Fasa 3, Kempadang Makmur dan Taman Guru.

Sementara enam cawangan berikutnya adalah Peramu, Kampung Kurnia, Tanah Putih Baru, Taman Berjaya Permai, Inderapura dan Penor yang akan diteruskan dalam tempoh terdekat ini sebelum pelajar menghadapi peperiksaan tersebut.

“Program ini dianjurkan oleh Lajnah Pendidikan (LajPen) DMPK untuk bertanya khabar kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM, STAM dan STPM.

“Di samping menyuntik semangat mereka dengan kata-kata motivasi juga mendorong mereka lebih fokus kepada pelajaran dengan masa yang masih berbaki untuk dimanfaatkan dengan sebaiknya,” kata Ketua DMPK Ustazah Rosmani Mustafa.

Tambahnya lagi, selain dapat membina ukhuwah pelajar dengan muslimat PAS, ianya juga dapat menunjukkan kepada masyarakat bahawa PAS adalah sebuah parti yang berkebajikan dan menghormati institusi pendidikan.

Semua calon pelajar telah di berikan penghargaan berbentuk poster doa peperiksaan, alat tulis, makanan dan sebagainya.

Turut hadir program ziarah dari rumah ke rumah pelajar ini adalah Ketua Muslimat, Ketua LajPen dan Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS cawangan-cawangan yang terlibat.