Home Berita PAS Terengganu

Muslimat muda kena tampil aktif

19
SHARE

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA NERUS – Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menyeru muslimat muda untuk tampil aktif dalam organisasi, Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta agensi yang berperanan memperjuangkan hak wanita, kanak-kanak dan masyarakat dalam usaha memperkukuh peranan generasi muda,

Pengarah Strategik dan Pengurusan Risiko Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan berkata, penglibatan golongan muda dalam platform seperti Ameerah diiktiraf sebagai langkah penting membina keyakinan diri dan kemahiran kepimpinan.

“Muslimat muda hendaklah tampil mengisi ruang dan merebut peluang menyuarakan pandangan mereka serta terlibat dalam proses membuat keputusan dengan bimbingan.

“Saya melihat penglibatan jentera Ameerah dalam aktiviti Lajnah Hal Ehwal Parlimen dan DUN dapat membina keyakinan diri dan kemahiran kepimpinan yang diperlukan sebagai pemimpin dalam menghadapi cabaran masa depan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam pembentangan Jelajah Munaqasah Ucaptama Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia peringkat Zon Timur di Dewan Kompleks Tarbiyyah Darul At Taqwa ( KOMTAQ), Batu Enam, pada Sabtu, 11 Januari.

Menurutnya, Muslimat PAS diingatkan untuk terus komited dalam perjuangan mempertahankan Islam dengan menyelaraskan strategi perjuangan yang mantap, tersusun, dan penuh semangat ukhuwah Islamiah.

Kata Wan Hasrina, ia memerlukan pengorbanan, keimanan yang teguh, organisasi tersusun, dan kesatuan ummah yang berterusan demi melawan ancaman ideologi yang melemahkan umat.

“Semua peringkat disarankan meletakkan agenda perjuangan Palestin sebagai perkara fokus utama.

“Dan semua peringkat diseru untuk menghidupkan kehidupan jihad dan mujahadah dalam setiap detik kehidupan dengan menjadikan perjuangan muslimah Palestin sebagai contoh mithali kita semua,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa sudah tiba masanya Muslimat PAS mengambil langkah lebih proaktif dalam mengaplikasikan kaedah pertanian, perikanan, dan penternakan seperti yang telah dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu.

Tambahnya, pendekatan ini melibatkan penggunaan kaedah yang mudah dan kos rendah bagi membolehkan keperluan asas dihasilkan di peringkat rumah, sekali gus membantu meringankan beban kos sara hidup harian.

“Dalam masa yang sama, penghayatan menyeluruh terhadap intima’ jamaie oleh kepimpinan Muslimat PAS semua peringkat perlu diperkasa.

“Muslimat PAS mampu berhadapan dengan pelbagai tekanan, ancaman dan ujian dari semasa ke
semasa dalam menggalas perjuangan yang tidak bernoktah sehingga penghujung nafas
terakhir.

“Marilah kita terus perteguhkan ribat bersama bahtera perjuangan PAS ini dalam
menghadapi arus dan gelombang bersama perjalanan ahli yang istiqamah, bukan
bahtera dipenuhi lanun, penipu, perompak, dan pemabuk membahayakan
perjalanan dan juga membinasakan para penumpang,” katanya.

Oleh itu, beliau menegaskan bahawa mempertahankan Islam merupakan tanggungjawab yang besar dan berat.

“Ia memerlukan kesatuan yang kukuh secara kolektif serta harus dipikul bersama oleh semua pihak, dan bukan hanya terbeban kepada sekelompok kecil individu sahaja,” tambah Wan Hasrina lagi.