Home Artikel PAS Sabah

Muslimat muda diseru beri aspirasi kepada anak muda

160 views
SHARE

21 April 2019
Oleh : Laila Ismail

SEPANGGAR : Pentas politik anak muda perlu digembleng semaksimum mungkin bagi melahirkan ikon-ikon anak muda yang boleh bersuara membawa visi dan misi anak muda.

Ameerah khususnya harus kedepan membawa suara pembelaan isu anak muda dari segi kemudahan pendidikan seperti kemudahan biasiswa, PTPTN yang tidak membebankan serta isu pengangguran yang semakin membelenggu kehidupan kebanyakan anak muda.

Muslimat muda PAS seperti Ameerah, Nusaibah dan Briged Muslimat turut di saran membuat hubungan jalin dengan parti-parti politik lain, agensi-agensi kerajaan dan swasta, para NGO, para mahasiswa universiti tempatan dalam Negeri serta menggerakkan agenda politik anak muda anjuran PAS mendahului media massa.

Perkara tersebut disarankan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah, Norsah Bongsu dalam ucaptama Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah hari ini di Borneo Tree House, Tebobon di sini.

Beliau turut meminta Ameerah Sabah untuk mengaktifkan serta meningkatkan gerakan kesedaran politik dalam kalangan ahli jemaah dan masyarakat yang masih rendah kefahaman tentang politik Islam khususnya pengundi muda.

“Tugas memujuk, mengajak dan menerangkan kepada pengundi muda tentang pentingnya memilih pemimpin yang dapat membawa Islam sebagai panduan dalam pemerintahan adalah sangat diperlukan”, tambahnya lagi.

Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah kali ke 29 ini dirasmikan oleh YB Senator Ustazah Hjh. Nuridah Binti Mohd Salleh.