Home Pahang

Muslimat mesti lantang bersuara isu janda, yatim dan miskin

2
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

KOTA SARANG SEMUT – ADUN Panchor YB Dato’ Sri Amar DiRaja Dato’ Mohd Amar bin Abdullah, menegaskan Muslimat PAS mesti lantang bersuara dalam membicarakan isu janda, anak yatim dan golongan miskin berlandaskan perspektif Islam.

“Peranan Muslimat bukan sekadar berada di saf belakang, tetapi perlu ke hadapan menyuarakan kebajikan masyarakat dengan penuh hikmah. Isu wanita, kemiskinan dan kebajikan anak yatim mesti diperjuangkan dengan hujah Islam yang jelas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) Kali Ke-65 di Kompleks PAS Kedah di sini hari ini.

Beliau yang juga sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan berkata, sejarah Islam telah membuktikan bahawa sistem pemerintahan Islam mampu bertahan beratus tahun kerana keadilan sosial dan pengagihan kekayaan yang menyeluruh.

Pada zaman Khalifah Umar Abdul Aziz, katanya, masyarakat hidup dalam keadaan cukup sehingga tidak ada yang layak menerima zakat.

Jelas beliau lagi, suara muslimat perlu menjadi benteng dalam membetulkan persepsi dan menegakkan keadilan, khususnya apabila berdepan dengan cabaran sosial semasa yang sering menekan golongan yang lemah.

Muktamar DMPM hari ini menghimpunkan seramai lebih 700 orang perwakilan dari seluruh negara bagi memperkukuhkan ukhuwwah serta memperteguh iltizam perjuangan parti melalui sayap muslimat.

Turut diraikan adalah tetamu kehormat daripada pimpinan utama PAS Pusat, Dewan Pemuda PAS Malaysia, Dewan Ulamak PAS Malaysia, Srikandi Bersatu Malaysia, Wanita Gerakan Malaysia, Wanita DHPP, serta Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah dan Isteri-isteri wakil rakyat SG4 serta pemerhati dari seluruh negara.