Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Muslimat Mengutuk Kekejaman China ke atas Uighur

371 views
SHARE

KENYATAAN MEDIA
DEWAN MUSLIMAT PAS MALAYSIA
14 Disember 2018 | 6 Rabi’ul Akhir 1440

1. Muslimat PAS memandang serius tekanan yang dihadapi oleh etnik Uighur di wilayah Xinjiang.

Laporan melalui media arus perdana dari hari ke sehari menggambarkan tindakan kejam kerajaan China terhadap umat Islam di sana.

2. Menurut Jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), telah hampir satu juta warga Uighur yang ditahan di pusat “anti-keganasan” China sejak bulan Ogos manakala sejumlah 2 juta lagi dipaksa menjalani “indoktrinisasi kebudayaan dan politik” agar mereka mentaati rejim Komunis dan mengubah identiti Islam mereka.

3. Perbuatan tersebut sangat memberi kesan kepada kita sebagai saudara Muslim kerana penindasan sebegini menyentuh sensitiviti akidah umat Islam.

Keghairahan mereka menindas umat Islam mencerminkan tekanan yang dihadapi semakin mencabar dunia Islam.

4. Justeru Muslimat PAS mengutuk tindakan kejam kerajaan China ke atas warga etnik Uighur.

Kami mendesak agar Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Luar Negeri mengambil tindakan segera dalam usaha membantu umat Islam di sana.

Dalam masa sama perlu mengadakan kerjasama dengan negara-negara berpengaruh dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mengatasi masalah ini agar keadilan boleh dipertahankan.

5. Muslimat PAS juga menyeru seluruh umat Islam terutamanya mendoakan saudara kita di sana agar diberikan kekuatan untuk menghadapi ujian hebat ini.

Semoga mereka tetap utuh mempertahankan akidah masing-masing sebagaimana sirah telah menceritakan perihal serikandi Islam pertama yang syahid mempertahankan akidah iaitu Sumaiyah.

Nuridah Mohd Salleh
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia