Home Artikel PAS Perak

Muslimat Mengajak Masyarakat Menghayati Ibadah Korban

187
SHARE

S Jamil | 3 Ogos 2019

Kuala Kangsar Muslimat terus memberi perhatian kepada gerak kerja dakwah kepada seluruh masyarakat bagi memahamkan mereka untuk terus menghayati cara hidup Islam yang sempurna.

Dewan Muslimat PAS Kuala Kangsar melalui Lajnah Dakwah menganjurkan Program sempena ketibaan Aidiladha baru-baru ini dengan memilih Masjid Aziziah Kampung Ketior sebagai tempat program.

Masyarakat terus memberikan sambutan yang memberansangkan dan tidak melepaskan peluang mengikuti setiap aktiviti yang berlangsung pada majlis hari itu.

Program yang bermula seawal 8.00 pagi dimulakan dengan doa dan diserikan dengan persembahan nasyid dan qasidah oleh pelajar tahfiz MTQ Addin 3.

Sebelum penyampaian hadiah bagi pertandingan mewarna kanak-kanak, Kuliyah tentang penghayatan korban dan ibadah haji, disampaikan oleh Ustaz Mahisan Aswadi bin Ahamed kepada tetamu yang hadir.

Beliau mengajak para tetamu untuk mengimbau kembali sirah Nabi Ismail dan pengorbanan Nabi Ibrahim. Beliau juga turut mengajak tetamu untuk mengamalkan ibadah puasa sunat, solat dhuha dan menceritakan fadhilat daripada ibadah sunat tersebut.

Menyentuh tentang peranan besar umat Islam masa kini dalam rasminya,Ustazah Nabisah Muthaliff selaku Naib Ketua DMP Kuala Kangsar menekankan bahawa semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk melaksanakan gerak kerja dakwah Islamiyah kepada non muslim.

Dewan Muslimat berharap agar program sebegini wajar diteruskan dengan terus melebarkan dakwahnya ke serata pelusuk kawasan Kuala Kangsar.

DMP melahirkan kerisauan sejak mutakhir ini, non muslim dan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab semakin berani menyentuh dan mengusik perkara yang sensitif umat Islam. DMP berharap agar perkara ini ditangani dengan baik dengan ketegasan dan penguatkuasaan kerajaan hari ini, namun dalam masa yang sama, dakwah perlu terus berjalan kepada mereka ini agar terbuka hati untuk memahami dan menerima agama Islam sebagai agama yang benar.

Program berakhir dengan makan pada 12 tengahari dan bersurai.