LEMBAH PANTAI, 8 April – Muslimat PAS Kawasan Lembah Pantai terus maju ke hadapan dengan kejayaan penganjuran Kelas Membuat Kek dan Roti 2.0 yang telah diadakan di Surau Al-Hidayah Lengkok Abdullah.
Rentetan daripada kejayaan program yang pertama serta permintaan tinggi daripada masyarakat setempat, program ini diteruskan dengan kehadiran peserta pada kali ini seramai 30 orang.
Menurut pengarah program, Puan Sal berkata, program ini diadakan bertujuan meraikan peranan wanita sekali gus mengasah bakat serta memberi pendedahan kepada para peserta dalam bidang memasak kek dan roti.
“Kelas ini dibimbing oleh tenaga pengajar berpengalaman iaitu Cikgu Siti Zaliha Mat Diah, yang telah mengajar para peserta teknik untuk membuat kek dan roti dengan baik.
“Sesi praktikal diadakan setelah penerangan tamat bagi membolehkan peserta menterjemahkan ilmu yang diperolehi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, program ini turut dihadiri pimpinan PAS kawasan yang juga tokoh masyarakat dan aktivis Lembah Pantai iaitu LAr Haji Fauzi bin Abu Bakar.
Dalam masa sama, beliau sempat menyampaikan ucapan sepatah dua kata dan memberi sedikit kata-kata motivasi kepada para peserta yang rata-ratanya adalah perempuan akan besarnya pahala seorang ibu atau isteri berkorban menyediakan makanan kepada suami serta anak-anak.
Menurut salah seorang peserta, mereka yang hadir dalam kelas ini merasa sangat seronok dengan pengisian dan mengharapkan agar program seumpama ini akan diteruskan pada masa-masa akan datang.