Oleh : RR
KUALA TERENGGANU – Dewan Muslimat PAS di semua peringkat diseru agar bangkit dengan inisiatif ekonomi yang mampan sebagai tonggak kekuatan kewangan jemaah.
Ketua Dewan Muslimat PAS negeri Terengganu, To Puan Hajah Zarani Othman berkata, penekanan diberikan kepada usaha menggerakkan koperasi, membina rangkaian produk, memperkasa bidang perniagaan dan mewujudkan dana kebajikan yang berdaya saing demi menjana hasil yang berterusan untuk manfaat perjuangan Islam.
“Muslimat PAS disaran agar tidak hanya bergantung kepada kutipan derma atau sumbangan program semata-mata, sebaliknya segera merangka model kewangan yang mampan dan berterusan demi kelangsungan gerak kerja parti dan kesejahteraan ummah.
“Sehingga kini, masih ada pejabat-pejabat operasi muslimat di kawasan dan negeri yang serba kekurangan dari segi kemudahan dan peralatan, bahkan Kompleks PAS Negeri sendiri belum sempurna pembinaannya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS negeri Terengganu kali ke 52 di Markaz Tarbiyyah Kuala Ibai pada hari ini.
Beliau menegaskan bahawa usaha menjana kewangan jemaah bukan sekadar soal pentadbiran, tetapi adalah sebahagian daripada tanggungjawab perjuangan.
“Ini bukan semata-mata tentang wang ringgit, tetapi tentang kelangsungan perjuangan,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Muslimat turut diperingatkan supaya mengambil peranan lebih proaktif dalam membantu menyelesaikan isu ekonomi rakyat yang kini dihimpit tekanan kos sara hidup, inflasi dan ketidaktentuan ekonomi global.
“Muslimat harus tampil dengan penyelesaian sama ada melalui pendidikan kepenggunaan, program ekonomi berasaskan syariah, atau memperkasa wanita melalui keusahawanan Islam,” kata beliau.
Menurutnya lagi, penglibatan dalam ekonomi Islam bukan hanya alternatif, tetapi satu keperluan.
“Sistem ekonomi Islam menawarkan keadilan, ketelusan dan keseimbangan yang diyakini dapat membebaskan umat daripada kezaliman riba dan penindasan sistem kapitalis,” katanya.
Justeru itu, beliau berharap agar muslimat menjadi pencetus kepada kesedaran ini, agar ekonomi yang dibangunkan hari ini menjadi asas kekuatan umat Islam untuk masa depan.