Home Berita PAS Perlis

Muslimat Arau, NGO tanggung kos ambulan pesakit asnaf

397
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

ARAU, 17 Ogos: Prihatin dengan kesusahan hidup yang ditanggung, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Kawasan Arau dan NGO Wanita Prihatin (PWPP) hari ini menguruskan perkhidmatan ambulan kepada seorang pesakit.

Khairul Nisak Md Rejab dari Kampung Sungai Bugis, Simpang Empat, dekat sini telah dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dengan ambulan yang disediakan secara percuma bagi mendapatkan rawatan.

Menurut Pengerusi LKK DMPKA, Noor Fatimah Ariffin, pesakit berkenaan tergolong dalam golongan asnaf serta menghadapi kesukaran untuk bergerak bagi mendapatkan rawatan di HTF.

“Beliau sebelum ini pernah terlibat dalam kemalangan dan perlu mendapatkan rawatan susulan di hospital akibat kecederaan yang dialaminya.

“Prihatin dengan nasib yang menimpanya, maka LKK DMPKA bersama-sama dengan NGO PWPP telah mengambil keputusan untuk memberikan perkhidmatan ambulan secara percuma kepadanya.

“Kos sewaan ambulan ini ditanggung sepenuhnya dan beliau (Nisak) tidak perlu membayar apa-apa,” katanya ketika dihubungi pagi tadi.

Ujarnya lagi, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana pihak termasuk NGO dalam melaksanakan program-program kemasyarakatan, khasnya yang melibatkan golongan asnaf.