Home Berita PAS Sabah

Muslimat AKIFI teras kesejahteraan ummah

657
SHARE

Oleh : Suziana Ghani
1 September 2020

KOTA MARUDU: Tema muktamar, Muslimat AKIFI Teras Kesejahteraan Ummah masih lagi bersandarkan muslimat AKIFI, bagi memastikan muslimat PAS dan masyarakat sentiasa berada dalam sistem organisasi yang mementingkan Islam, merangkumi persoalan akhlak, ibadah dan tarbiah yang mantap untuk berhadapan dengan akhir zaman yang penuh dengan fitnah.

Norsah Bongsu, Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah berkata, amalan AKIFI ini adalah teras kepada aktiviti Jentera Ansarullah 12 yang telah dilancarkan bagi melahirkan para amilin PAS yang bertakwa.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah kali ke-30 di Kelab Rekreasi Taman Indah Jaya, Sandakan dekat sini.

Katanya, bagi memenuhi tuntutan politik dan dakwah, peranan muslimat dalam gerakan Islam adalah sangat penting, bukan sahaja sebagai individu penyeri atau pelengkap dalam rumah tangga tetapi juga sebagai entiti penggerak utama memastikan kejayaan program merakyatkan perjuangan.

“Sehubungan dengan itu, muslimat PAS perlulah bersedia untuk mendepani cabaran politik dengan mempersiapkan calon-calon wanita pada pilihan raya akan datang,” ujarnya.

Menurutnya, muslimat PAS perlu menguasai media sosial agar dapat berperanan menangkis sebarang serangan propaganda negatif terhadap parti.

“Muslimat perlu menggiatkan kesedaran politik dalam kalangan generasi muda wanita, menanamkan semangat patriotisme kepada negara dan akhirnya meningkatkan partisipasi wanita muda dalam masyarakat seterusnya melahirkan generasi pelapis kepimpinan politik wanita muda yang bertaraf dunia,” ulasnya.

Dalam ucapan penutupan, beliau mengingatkan semua ahli agar menghadam istilah Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional dengan menyingkap sejarah bagaimana Rasulullah SAW menanamkan semangat ukhuwah, tolong-menolong, pengorbanan, kecintaan dan ketakwaan di dalam sanubari umat Islam ketika itu, di antara golongan Muhajirin dan Ansar yang membentuk kekuatan di dalam sebuah organisasi.