Oleh: JANIRA AIN ABU BAKAR
24 Februari 2019
Putatan: Dewan Muslimat PAS Kawasan Putatan semalam menobatkan Ustazah Normi Yusof selaku Ketua Muslimat yang baru dalam Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) kali ke-17, semalam.
Majlis yang bermula jam 8.30 pagi itu, dihadiri oleh kira-kira 70 orang perwakilan muslimat kawasan. Turur hadir, Ustazah Nusaibah Bukhari, AJK Lajnah Dakwah DMP Negeri Sabah.
Dalam ucapan ulasan oleh wakil pemerhati, Ustazah Nusaibah memuji DMP Kawasan Putatan kerana telah menyempurnakan tuntutan tahunan organisasi itu mengikut prosedur yang ditetapkan. Beliau menyeru para pendukung jawatan supaya tetap istiqamah dan bersungguh dalam menunaikan amanah demi mendaulatkan negara Islam.
Ustazah Normi yang terpilih sebagai Ketua Muslimat sesi 2019/2021 memberi ucapan penggulungan yang sangat mengesankan hati para perwakilan. Dengan menukilkan firman Allah dalam ayat ke-32 surah al-Ahzab, beliau menyeru para muslimat supaya mengenepikan rasa takut, risau dan manja sewaktu menyahut seruan perjuangan.
Mengulas mengenai tema MAT tahun ini iaitu “Muslimat AKIFI : Bangkit dan Serulah!”, beliau menyatakan bahawa tema ini sangat bersesuaian dengan keadaan kegawatan yang menimpa Islam ketika ini seperti gejala sosial, penghinaan terhadap Nabi dan Islam. Jelasnya, sekarang adalah masa untuk bangkit dan menyeru masyarakat supaya kembali kepada Islam.
Mesyuarat yang berakhir pada jam 12.30 tengahari itu turut menyaksikan beberapa perubahan pemegang portfolio lajnah. Perasmian disempurnakan oleh Ustazah Dr Wahibah Tahir pada sesi kedua bermula jam 8.00 malam.
Diharapkan agar para muslimat semakin bersemangat dan sentiasa istiqamah dalam perjuangan.