Home Berita PAS Pahang

Munajat Hour – Muslimah dan zikir berpisah tiada

160
SHARE

Oleh : NUR ROY NABILA A. ROZI

BENTONG, 8 Jan : “Munajat Hour” adalah program muslimah bersama masyarakat khususnya kepada muslimah yang bermunajat, berdoa serta berselawat bagi pemantapan kerohanian.

Pengisian dengan solat dhuha, solat hajat, alunan zikir-zikir dan bacaan surah Yasiin dapat membina kekuatan dan menambah keimanan serta memberi ketenangan hati para muslimah.

Program ini telah dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Khadijah Bentong di Masjid Bandar Bentong di sini kelmarin.

Pendakwah bebas juga penulis buku-buku dakwah Ustazah Qurrotul Aien telah memberi pengisian melalui tazkirah berkaitan dengan muslimah.

“Perkataan muslimah adalah panggilan untuk wanita yang rajin beribadat, taat kepada suami, juga taat kepada pemimpin yang mempunyai ciri-ciri yang telah dinyatakan dalam al-Quran dan al- Sunnah.

“Selain itu, gelaran muslimah juga merupakan seorang wanita yang menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah SWT,” katanya.

Menyentuh mengenai zikrullah, beliau berkata ianya bukan sekadar lafaz di bibir, malahan dapat memantapkan hubungan manusia dengan Allah.

Apabila hubungan tersebut telah mantap, maka dapat melahirkan jiwa yang tenang sekaligus dapat mencorak kehidupan dan peribadi seorang muslim.

Justru beliau menyeru agar muslimah sentiasa mengingati Allah dalam semua keadaan sama ada ketika senang atau susah.

Program yang dihadiri lebih dari 100 orang peserta ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim di samping menguatkan perpaduan umat Islam di sekitarnya.