Home Berita PAS Terengganu

Muslim Food tekad jadi penanda aras industri F&B bumiputera di Malaysia

4
SHARE

KUALA TERENGGANU – Niat asal pengasas Muslim Food Industries (MFI) iaitu allahyarham Jamaludin Yusof terlibat dalam industri makanan dan minuman (F&B) sekitar tahun 1980-an adalah untuk mengambil tanggungjawab fardhu kifayah bagi memenuhi keperluan makanan umat Islam dan jihad ekonomi.

Pada tahun 1986, beliau yang merupakan seorang guru sains membuat keputusan mengakhiri kerjaya sebagai guru dan menubuhkan Muslim Food Industry, satu-satunya pengeluar mi kuning bumiputera ketika itu.

Bermula dengan menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan, perniagaan allahyarham terus berkembang maju.

Seiring perkembangan semasa pada tahun 1997, Muslim Food Industry telah ditukar nama kepada MFI bagi melestarikan kepelbagaian produk muslim di pasaran semasa.

Pengarah Urusan MFI, Ahmad Sayyaf Jamaludin berkata, selepas bapanya meninggal dunia pada tahun 2014, ‘survival’ syarikat MFI diteruskan oleh beliau bersama adik beradik.

Katanya, beliau optimis dengan perniagaan F&B yang dijalankan keluarganya dan bercita-cita membawa jenama syarikat ke peringkat antarabangsa dan menjadi penanda aras kepada industri makanan bumiputera di negara ini.

“Harapan saya MFI akan lebih maju, berdaya saing dan berdaya tahan.

“Kita ingin menjadi nombor satu dalam Malaysia dan berusaha jadikan MFI sebagai salah satu ‘betchmark’ untuk orang Melayu dalam bidang F&B kerana masih kurang orang Melayu yang berjaya dalam bidang ini,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di kilang MFI di Kampung banggol Tok Jiring, baru-baru ini.

Ahmad Sayyaf berkata, faktor pasaran baru dan produk baru menyumbang kepada peningkatan jualan syarikat MFI yang ditubuhkan sejak tahun 1986.
“Kita meletakkan sasaran jualan akan meningkat 50 peratus setiap tahun.

“Produk terlaris keluaran MFI temasuk mi kuning, kuey teow, laksa beras, bebola ikan, bihun, cili kisar, garam halus dan garam kasar yang mana produk berkenaan dipasarkan di semua rangkaian Mydin dan Giant seluruh semenanjung serta berpuluh lagi pasar raya kecil yang lain,” ujarnya.

Beliau berkata, MFI sentiasa melakukan penyelidikan dan pembangunan produk dalam usaha memenuhi citarasa ramai.

“Tahun ini kita fokus kepada pembangunan beberapa produk termasuk bebola ikan, InsyaAllah tahun depan kita akan keluarkan produk baru iaitu bebola ikan (sayuran),” ujarnya.

Ahmad Sayyaf berkata, pihaknya bersyukur kerana mendapat sokongan kerajaan antaranya yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) yang sentiasa bersama syarikat terbabit termasuk dalam memberikan bimbingan dan khidmat nasihat.