Home Berita PAS Perlis

Musibah, Teguran Dari Allah

1743
SHARE

Oleh : Nur ‘Iffah

Pentas Karnival Ijtima’ Tarbawi 6.0 yang berlangsung pada malam tadi dihangatkan dengan ceramah misi kemanusiaan yang disampaikan oleh ADUN Bukit Payung, YB. Mohd Noor Hamzah.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan menyarankan agar umat Islam sentiasa mengambil iktibar atas setiap bencana alam yang diturunkan oleh Allah S.W.T.

Mengambil ibrah daripada Surah Al-Mulk ayat ke 16 sehingga 18, beliau turut mengingatkan agar umat Islam agar merasa terancam dengan amaran Allah serta menjadikan umat terdahulu yang telah dibinasakan sebagai teladan.

Tambah beliau, manusia tidak dapat lari dari sebarang musibah yang bakal diturunkan oleh Allah bahkan tidak juga berkuasa menahan serta menangguhkan ketetapan Allah.

“Dalam Surah Al-Mulk, ada beberapa ayat, Allah ingatkan kita bahawa kita tidak akan selamat daripada sebarang azab yang diturunkan oleh Allah.

“Bahkan Allah ingatkan juga kepada kita bagaimana umat-umat sebelum ini yang hebat, yang kaya, yang bertamadun, dihancurkan oleh Allah dengan sebab murka Allah kepada mereka,” katanya.


Beliau menambah, bala terbesar yang sedang menimpa umat Islam bukanlah sekadar gempa bumi mahupun tsunami, tetapi membiarkan orang yang bukan Islam memerintah negara.

Menurutnya lagi, kerajaan berperanan penting di dalam usaha untuk mengatasi pelbagai kerosakan dan maksiat yang berlaku dalam kalangan masyarakat hari ini berbekalkan kuasa yang telah diberi oleh rakyat.

Justeru, beliau menggesa agar kerajaan yang ada pada hari ini menjadikan kuasa sebagai wasilah dalam mencegah kemungkaran yang berlaku di Malaysia.