Home Kenyataan Media PAS Johor

Musibah banjir : Antara ujian, pembalasan dan kaffarah

574
SHARE
MUSIBAH BANJIR : ANTARA UJIAN, PEMBALASAN DAN KAFFARAH
Penghujung tahun 2021 kita dihidangkan dengan berita dan keadaan yang tidak terjangka.
.
Banjir besar yang melanda beberapa negeri seperti Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan dan Terengganu.
.
Banjir yang melanda Selangor dan Pahang adalah yang paling teruk dalam tempoh terdekat ini.
.
Sebagai Muslim yang beriman, pastinya kita meyakini janji Allah S.W.T yang sesekali tidak akan berlaku zalim terhadap hamba-Nya.
.
Malah apa jua yang berlaku pasti ada hikmah dan pengajaran untuk dijadikan sebagai iktibar kepada semua.
.
Banyak perkara yang ditimpakan kepada manusia seperti banjir besar pastinya menjadi ujian untuk menilai seseorang sehingga zahir keperibadiannya yang sebenar.
.
Allah S.W.T Tuhan Yang Maha Mengetahui segala yang zahir dan yang tersembunyi, namun dengan ujian yang diturunkan akan terzahir pula sikap, perangai dan tingkah laku seseorang.
.
Ada yang boleh bersabar dan tidak cepat melatah, ada pula yang sebaliknya.
.
Yang lebih teruk lagi ada yang hanya pandai mencari kesalahan orang lain sahaja dan menggunakan perkataan keji.
.
Firman Allah S.W.T
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ.
Mafhumnya: “Dan (pasti) Kami akan menguji kamu dengan sesuatu daripada perasaan takut, kelaparan, kekurangan harta, kehilangan jiwa dan (kekurangan) hasil tanaman. Khabarkan berita gembira kepada orang-orang yang sabar”.
Surah Al-Baqarah : 155
.
Banjir juga adalah mala petaka dan pembalasan yang diturunkan oleh Allah S.W.T sebagai peringatan kepada hamba-Nya di atas kealpaan dan kerakusan diri mereka sehingga membelakangkan Syariat Allah apa lagi jauh sekali daripada mensyukuri segala pemberian Allah S.W.T.
.
Firman Allah S.W.T
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ.
Mafhumnya: “Dan jika sekiranya penduduk di (sesebuah) negeri itu beriman dan bertakwa (kepada Allah), nescaya Kami (Allah) akan bukakan ke atas mereka (pintu) keberkatan dari langit dan bumi akan tetapi mereka mendustakan (ajaran Kami) lalu Kami timpakan (pembalasan/ mala petaka) disebabkan apa yang mereka usahakan”.
Surah Al-A’raf : 96
.
Kita diuji dengan covid 19 yang masih belum berakhir, namun kesedaran masih belum nampak secara menyeluruh.
.
Rumah Allah masih kosong walaupun solat dilakukan secara berjarak.
.
Arak dan judi masih menjadi pujaan sebahagian orang tanpa memikirkan hak Allah.
.
Firman Allah S.W.T
كَدَأْبِ آلِ فِرْعَوْنَ وَالَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۚ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ بِذُنُوبِهِمْ ۗ وَاللَّهُ شَدِيدُ الْعِقَابِ.
Mafhumnya: “(Keadaan mereka) adalah sebagaimana yang dilakukan oleh keluarga Firaun dan golongan yang sebelum mereka, mereka telah mendustakan ayat Kami, lalu (Kami) Allah membinasakan (membalas) mereka dengan sebab dosa mereka. Dan (ketahuilah) Allah Maha Dahsyat pembalasan-Nya”
Surah Aali Imran : 11
.
Sesuatu musibah yang berlaku juga merupakan kaffarah (penghapus) dosa yang dilakukan oleh seseorang hamba.
.
Hakikatnya jika sesuatu yang tidak diingini menimpa seorang mukmin, ianya adalah satu proses penyucian jiwa daripada dosa dan noda.
.
Ini dapat difahami berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W.
.
‎عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلَا وَصَبٍ وَلَا هَمٍّ وَلَا حُزْنٍ وَلَا أَذًى وَلَا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ.
Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi S.A.W Baginda bersabda: “Tidaklah seorang muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, kesakitan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya.(Riwayat Al-Bukhari)
Sebagai seorang yang beriman, kita diajar oleh Allah S.W.T ucapan yang sangat indah sewaktu ditimpa musibah. Firman Allah S.W.T.
.
الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ.
(Mereka yang sabar iaitu) mereka yang apabila ditimpa musibah mereka berkata, “Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami akan kembali”.
Surah Al-Baqarah : 156
.
Kita juga telah diajar oleh Baginda Rasulullah S.A.W untuk berdoa dengan doa berikut:
اللّٰهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيْبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا
Ya Allah, kurniakanlah pahala padaku (dengan sebab) musibah yang menimpaku dan gantikanlah untukku yang lebih baik daripadanya. (Riwayat Muslim)
.
Justeru RISALAH PENERANGAN pada kali ini menyeru seluruh anggota masyarakat agar dapat kiranya sama-sama bermuhasabah diri dan mengislah (memperbaiki) cara hidup ke arah yang bijaksana dengan mematuhi Syariat Allah S.W.T.
.
Elakkan berterusan melakukan perkara yang membawa kerosakan dan dosa.
.
Teruskan berdoa dan berusaha membantu yang termampu agar kita semua sentiasa di dalam rahmat dan kasih sayang Allah S.W.T.
.
Firman Allah S.W.T dalam surah Ar-Rum : 41 yang mafhumnya: ” Telah zahir (berlaku) kerosakan (kebinasaan) di daratan dan di lautan akibat (daripada kejahatan) tangan-tangan manusia. (Yang demikian itu ditimpakan kepada mereka) agar mereka merasakan (kesan) sebahagian daripada (kejahatan) yang mereka lakukan semoga mereka kembali (menginsafi)”.
.
Al-Faqiiru Ilallah,
ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI
Ketua Penerangan
Badan Perhubungan PAS Negeri Johor
.