Home Berita PAS Terengganu

“Musibah apakah sebenarnya di sebalik anugerah”

31
SHARE

DUNGUN – Disebalik sukacita atas anugerah Tokoh Guru PASTI Malaysia 2024, Cikgu Siti Aisyah Mamat guru PASTI An-Nasihah, Taman Murni Perdana, Paka, menzahirkan kebimbangan hatinya yang terdetik dengan persoalan, “Musibah Apakah Sebenarnya Di Sebalik Anugerah”

Sambil mengakui tidak layak dengan pelbagai kekurangan, beliau berkata kebiasaannya selepas menerima anugerah akan menyusul amanah-amanah untuk digalas.

“Saya bimbang tidak mampu untuk melaksanakan tugasan – tugasan yang akan diamanahkan itu,” ujarnya.

Cikgu Aishah menjelaskan demikian ketika dihubungi di rumahnya di sini semalam, mengulas anugerah yang diterimanya sempena Sambutan Hari Guru Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia 2024 di Ideal Convention Center (IDCC), Shah Alam, Selangor pada Sabtu, 1 Jun.

Beliau yang memulakan karier sebagai pembantu guru PASTI 21 tahun lalu tidak dapat menahan airmatanya mengenang kesungguhan ayahnya, seorang petani membeli kereta Proton Saga terpakai secara tunai untuk memudahkannya ke PASTI An-Nasihah.

“Pada mulanya, saya menggantikan tempat kawan saya yang melanjutkan pelajarannya ke Mesir untuk mengajar kelas Iqra, jadi saya merantau ke Paka dan tinggal di premis kelas Iqra tersebut,

“kebetulan PASTI An-Nasihah yang tidak jauh dari situ, mencari pembantu guru untuk selama dua minggu,”

“Memandangkan saya ‘free’ sebelah pagi, jadi saya terima tawaran itu, tetapi setelah dua minggu, saya diminta menjadi pembantu tetap disebabkan guru pembantu sebelum ini telah berhenti,

“saya minta ayah hantar motosikal, tetapi apa yang mengejutkan saya sebulan kemudian, ayah bawa kereta yang dibeli ‘cash’ untuk saya guna,” ceritanya yang berasal dari Kuala Berang.

Katanya, Itu adalah sokongan dan dorongan yang pertama diterimanya dan banyak lagi galakan serta motivasi yang diberi daripada suami, rakan-rakan guru, pihak pengurusan PASTI serta mereka di sekelilingnya sebagai obor semangat untuknya mengharungi cabaran sebagai guru PASTI.

“Dengan pertolongan Allah dan kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk melaksanakan tugasan yang diberikan, anugerah ini adalah juga anugerah buat mereka juga bukan untuk saya seorang,” katanya lagi.