Oleh: Isabariah Ismail
24 Mei 2021
PUTATAN : PASTI Ar-Raihan Petagas, Putatan menyahut seruan kempen derma RM1 untuk dana Palestin pada Jumaat lepas.
Program telah dilaksanakan di PASTI Ar-Raihan dan seramai 34 pelajar telah menyahut kempen dana untuk Palestin ini. Kempen yang dilaksanakan telah berjaya mengumpulkan hampir RM1000.
34 murid yang hadir datang secara bergilir-gilir, masing-masing menyampaikan sumbangan kepada guru secara pandu lalu.
Semangat dan keprihatinan murid PASTI ini dapat dilihat apabila kebanyakan mereka telah menggunakan duit raya yang disimpan untuk didermakan.
Tujuan program kempen ini adalah untuk mendidik murid agar prihatin terhadap bumi Palestin dan saudara Islam yang sebaya mereka. Selain itu, ia bagi menggalakkan pelajar menyumbang walaupun sedikit.
Turut hadir, Timbalan Mudir, Mohd Afif Yunus bagi memeriahkan kempen ini. Mohd Afif berkata, program ini dianjurkan oleh guru-guru untuk menerapkan nilai-nilai murni setiap murid PASTI terhadap masyarakat Palestin.
“Anjuran kempen ini juga disambut baik oleh semua ibubapa pelajar. Diharapkan sumbangan kewangan dan doa kita kepada saudara di Palestin dapat diteruskan dan tidak bermusim”. Katanya lagi.