KUALA NERUS – Seorang murabbi bukan hanya bertugas mengajar, malah berperanan besar dalam mendidik rohani, jasmani dan akhlak pelajar agar selari dengan ajaran Islam.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Haji Husain bin Awang berkata, peranan utama seorang murabbi adalah membentuk peribadi, sikap dan tabiat pelajar supaya ilmu yang diperoleh bukan sekadar dihafal, tetapi benar-benar dihayati serta diamalkan dalam kehidupan seharian.
“Ilmu tanpa amal membawa kepada dosa. Rasulullah SAW sendiri mendidik umat bukan hanya dengan penyampaian, tetapi dengan membentuk akhlak dan membersihkan jiwa mereka,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Ijtima’ Murabbi Pendidikan PAS Terengganu 1.0 yang berlangsung pada Sabtu, di Kompleks Tarbiyah At-Taqwa (Komtaq), Kuala Nerus.
Dato’ Husain turut mengingatkan bahawa para pendidik wajib menjadi teladan kepada anak didik, mendahului mereka dalam mengamalkan ilmu yang diajarkan.
Beliau menekankan pentingnya murabbi mempunyai hubungan yang kuat dengan Allah, kerana sifat ihsan itulah menjadi pemangkin keberkatan dalam mendidik.
“Kita mahu murid menghormati guru bukan kerana takut dimarahi, tetapi kerana kagum dengan akhlaknya. Inilah yang membekas di hati pelajar,” katanya.
Justeru itu, beliau menyeru kepada semua para murabbi untuk memahami isu politik, ekonomi dan semasa, agar mampu mengaitkannya dengan ajaran Islam secara menyeluruh.
“Kesatuan umat hanya dapat dicapai melalui kesepakatan. Murabbi mesti bijak membawa murid kepada titik persamaan, bukan menjerumuskan mereka ke lembah khilaf yang memecahbelahkan,” tambah beliau lagi.