Home Berita PAS Perak

Munajat ‘online’ satukan fikrah ahli PAS Tambun

80
SHARE

MUNAJAT ‘ONLINE’ SATUKAN FIKRAH AHLI PAS TAMBUN
Oleh: Haikal Mohd Noh

Tambun: Sebagai sebuah parti yang berteraskan ajaran Islam, PAS pasti sentiasa menitikberatkan didikan agama terhadap ahli-ahlinya lebih-lebih lagi mengenai kefahaman Islam selain daripada berperanan sebagai sebuah parti politik.

Yang Dipertua PAS Kawasan Tambun, Ustaz Salleh Said berkata, kepentingan kefahaman Islam inilah yang akan menjadi benteng kepada muslihat tipu daya dan helah musuh yang sentiasa ingin melihat kejatuhan Islam.

“Program munajat secara atas talian (online) yang diadakan secara harian ini bertujuan memenuhi rutin kuliah maghrib yang biasa dibuat. Program ini bertujuan untuk mengukuhkan kefahaman dan fikrah ahli-ahli PAS di setiap peringkat serta berperanan sebagai platform bagi menjawab persoalan yang timbul.

“Dengan mengikuti program seperti ini, setiap ahli akan didedahkan dengan pelbagai jawapan dan respon terhadap isu-isu semasa dan hal ini adalah lebih baik daripada mereka mengambil jawapan dari sumber yang tidak pasti hingga boleh menganggu fikiran kita,” tegasnya.

Selain itu, mengulas tentang isu semasa, beliau yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak Negeri Perak turut menegaskan bahawa Islam amat mementingkan ketelusan dalam menyampaikan maklumat agar ia tidak menjadi agen pemecah antara umat Islam.

“Jika nak tahu isu semasa (secara sendiri) itu tidak salah, yang salahnya adalah kita mengapi-apikannya dengan cara membesarkan isu sehingga hilang adab dan menganggu keharmonian Jemaah. Islam mendidik kita untuk Tabayyun (selidik) dahulu sesuatu khabar sebelum disebar,” ujarnya.