Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

MUKTAMAR DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT KALI KE-59

440 views
SHARE

KENYATAAN MEDIA
DEWAN MUSLIMAT PAS MALAYSIA
18 MEI 2019/ 13 RAMADHAN 1440H

MUKTAMAR DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT KALI KE-59

Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mengalu-alukan kehadiran para perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara ke Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat kali ke-59 yang akan berlangsung pada 15 Jun 2019 bersamaan 11 Syawal 1440 H di Pusat Konvensyen Bukit Gambang City Resort, Gambang, Pahang.

Muktamar yang akan dihadiri oleh para perwakilan dari 179 kawasan dan pemerhati seramai 2000 orang dari seluruh negara ini akan dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Presiden PAS. Pihak DMPP mengucapkan jutaan terima kasih pada YB Dato’ Seri Presiden di atas kesudian beliau untuk julung-julung kalinya merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat.

Tema muktamar pada kali ini, “Islam Memimpin, Wanita Sejahtera”. Ini adalah mesej jelas yang ingin disampaikan kepada rakyat bahawa hanya dengan Islam yang memimpin negara, kehidupan wanita akan sejahtera. Sejahtera ini merangkumi semua aspek kehidupan manusia.

Pihak DMPP amat berbangga kerana Muktamar kali ni akan dihadiri oleh perwakilan dari Dewan Muslimat PAS Kawasan yang baharu diluluskan penubuhannya iaitu Dewan Muslimat PAS Kawasan Libaran, Sabah. Ini menunjukkan bahawa rakyat Sabah sudah mula menerima dan meletakkan PAS di hati mereka.

Pada muktamar ini juga akan diadakan beberapa pelancaran khas iaitu pelancaran beberapa buah buku Istimewa keluaran DMPM hasil nukilan Lajnah Politik, Tarbiyah dan Dakwah dan juga pelancaran Modul Baru Akademi Pengajian Saidatina Aisyah (APSA) yang lebih dinamik. Akademi Pengajian Saidatina Aisyah (APSA) adalah satu akademi di bawah Dewan Muslimat PAS Pusat yang melatih para muslimat ke arah Muslimat ‘AKIFI iaitu Muslimat yang berilmu, yang mahir dalam berharaki dan juga yang tunduk dan patuh pada perintah Allah swt.

Pada tahun ini juga adalah tahun pemilihan Saff Kepimpinan Dewan Muslimat PAS Pusat untuk sesi 2019/2021. Pihak dewan mengalu-alukan sebarang pertandingan jawatan kerana pihak DMPP sangat mengamalkan sikap demokrasi.

Pendaftaran perwakilan akan bermula pada 14 Jun 2019, Jumaat pada jam 3 petang. Acara Majlis Perasmian dan sidang muktamar akan berlangsung pada 15 Jun 2019. Acara rasmi bermula 8 pagi dan dijangka sidang muktamar ni akan tamat pada jam 9 malam. Muktamar DMPP kali 59 akan berakhir dengan slot persembahan khas oleh Lajnah Kesenian dan Kebudayaan.

Pelbagai pameran yang menarik, gerai jualan basah dan kering menanti kehadiran para pengunjung muktamar ini. Pihak Bukit Gambang Resort City (BGRC) juga menawarkan pakej penginapan yang menarik kepada para perwakilan dan pengunjung yang hadir. Di samping menghadiri muktamar, para perwakilan dan pengunjung juga boleh membawa ahli keluarga masing-masing ke Taman Tema dan Taman Safari dengan potongan harga yang sangat menarik.

ISLAM MEMIMPIN
MUSLIMAT ISTIQAMAH MEMACU KEMENANGAN

DR NURUL HANI ALI
Setiausaha /
Pengarah Muktamar