Home Berita PAS Perak

Mukhayyam Tarbawi PAS Kampar perkasa kesatuan fikrah

217
SHARE

 
Oleh : Saiful Islam Abd Rahman 
6 Februari 2023

TAPAH: Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Kampar telah menganjurkan program Mukhayyam Tarbawi PAS Kampar 2023  pada 4 dan 5 Februari 2023 di Taman Eko Rimba Lata Kinjang, Chenderiang dirasmikan oleh Yang Berhormat Hj. Razman Zakaria, Pesuruhjaya PAS Perak.

Program ini diadakan bertujuan untuk memperkasakan kesatuan fikrah setiap peserta dengan memberikan kefahaman tentang tuntutan harakah Islamiyah bagi mengelakkan pergeseran fikrah dan konflik dalam amal jamaie.

Selain itu, pelbagai aktiviti menarik juga telah dilaksanakan sebagai usaha mengukuhkan ukhuwah sesama peserta melalui penerapan tarbiyah ruhiyah, tarbiyah ‘aqliyah,  dan tarbiyah jasadiyah.

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Yang Berhormat Hj. Razman Zakaria telah mengingatkan para peserta bahawa perjuangan Islam itu dibina atas dasar kefahaman dan penghayatan Islam yang lahir daripada kekuatan aqidah dan fikrah serta terbina di atas kelestarian tarbiyah.

“Oleh itu, setiap komponen dalam tarbiyah seperti usrah perlu dilaksanakan secara konsisten di semua peringkat.

“Kekuatan program tarbiyah sangat penting dalam PAS kerana kerana tanpa tarbiyah akan hilanglah kesatuan, wala, taat dan pergorbanan dalam perjuangan menegakkan Islam. Aset penting yang meletakkan PAS terus istiqamah dan komited dengan perjuangan ialah agenda tarbiyah dan perkaderan yang menjadi nadi kepada perjuangan PAS, ” jelas beliau ketika merasmikan program tersebut.

Mukhayyam Tarbawi yang telah berlangsung selama 2 hari 1 malam ini telah dihadiri oleh 40 peserta yang terdiri daripada pimpinan PAS Kawasan Kampar dan pimpinan Dewan-Dewan Kawasan. Turut hadir memberikan pengisian dalam program ini ialah Ust Khairi Jamaluddin, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Perak dan Ust Omar Fikri, Ketua Dewan Ulamak PAS Tapah.