Home Berita PAS Pahang

Mufti Pahang sokong penuh cuti Jumaat, Sabtu

824
SHARE

 

Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman, menyokong penuh cadangan mengubah cuti hujung minggu kepada Jumaat dan Sabtu di negeri ini berikutan ada banyak fadilat untuk umat Islam beribadah.

 

Jika dilaksanakan, beliau berkata, kaum Muslimin dapat hadir awal ke masjid pada waktu Jumaat dan fokus beribadah tanpa memikirkan urusan duniawi seperti perlu menyelesaikan pekerjaan.

 

“Pada pandangan peribadi, saya memang menyokong penuh pelaksanaan cuti pada Jumaat dan Sabtu kerana ada banyak fadilat untuk umat Islam beribadah.

 

“Bagaimanapun, terpulang kepada kuasa Tuanku (Sultan Ahmad Shah) dan Pemangku Raja Pahang (Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah) yang juga pemerintah tertinggi berkaitan hal ehwal agama Islam negeri ini untuk menentukan perkara tersebut,” katanya.

 

Sebelum ini Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Lumpur, Rosli Abdul Jabar, membentangkan usul mengubah cuti hujung minggu negeri ini kepada Jumaat dan Sabtu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, minggu lalu.

 

Rosli yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, membuat cadangan itu atas alasan majoriti penduduk negeri ini adalah beragama Islam dan cuti pada Jumaat akan membolehkan pekerja tidak tergesa-gesa bersiap untuk ke masjid.

 

Usul itu mendapat pelbagai reaksi daripada Adun yang lain termasuk Chow Yu Hui (PH-DAP Tras) yang berpendapat tiada keperluan untuk menukar pelaksanaan cuti pada Sabtu dan Ahad ketika ini.

 

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, cadangan mengubah cuti hujung minggu itu bagaimanapun memerlukan kajian mendalam, termasuk implikasi terhadap sektor ekonomi dan pentadbiran kerajaan negeri.

 

“Mungkin kita (Pahang) boleh menjadikan Johor, Kelantan, Kedah dan Terengganu sebagai contoh (dalam kajian) sebelum melaksanakannya,” katanya.

 

Sementara itu, Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah sebelum ini, bertitah idea penukaran cuti hujung minggu sekarang kepada Jumaat dan Sabtu akan dipertimbangkan dan dikaji dengan teliti.