ALOR SETAR – Ideologi seperti Islam Liberal, Islam Plural, pragmatism telah menjadikan sebahagian orang Islam hilang identiti beragama, pecah amanah, rasuah dan khianat.
Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Tan Sri’ Abdul Hadi Awang berkata, oleh kerana itu ulama perlu beri fokus utama kepada perkara berkenaan dari sibuk membahaskan perkara cabang agama.
“Para ulama di Malaysia jangan sibuk ‘mengangkat pasir menjadi kubah’ (kerana) dengan mengangkat perkara kecil menjadi besar akhirnya akan hanya menghabiskan masa semata-mata.
“Maka saya menasihatkan agar ulama memberikan tumpuan kepada perkara yang jauh lebih mustahak, kritikal dan utama seperti bahaya serangan pemikiran yang (boleh) merosakkan hati diri seorang muslim,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan ‘Ucapan Dasar Presiden PAS’, di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-68, Kompleks PAS Kedah, di sini, semalam.
Tegasnya, perpecahan yang sedang dihadapi umat Islam pada masa kini diakibatkan kerana ulama terlalu menekankan kepada perkara cabang agama dan kejahilan umat terpengaruh dengan pelbagai ideologi asing daripada Islam.
“Bahkan, tindakan yang menjadikan Islam tidak berkuasa dalam negara adalah suatu kemungkaran besar yang akan diikuti dengan kemungkaran dalam segala lapangan yang lain
“(Sehinggakan) akhir-akhir ini terdapat dalam kalangan yang bernama Islam merobek kan agama Islam ini secara terbuka, sehingga merendah-rendahkan kedudukannya.
“Tindakan yang dilakukan itu sebenarnya (telah) menghina Islam, penganutnya dan raja-raja yang diberikan kewajipan untuk memeliharanya.
“Sebarang usaha yang cuba untuk menghakis kuasa politik Islam merupakan suatu kemungkaran besar yang wajib dicegah,” tegasnya lagi.