SETIU – Qari dan qariah dari Kampung Ladang Bari Sungai Tong, Muhammad Muaz Mokhtar dan Nor Jannah Abd Rahman, dinobatkan sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Setiu 1447H/2025M yang berlangsung di Masjid Kampung Banggol, malam tadi.
Kemenangan itu melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, piala pusingan, plak serta sijil penyertaan.
Naib johan bagi kategori qari dimenangi Ramli Awang Teh dari Kampung Tasek manakala kategori qariah disandang Halimah Ibrahim dari Kampung Chalok Lama.
Mereka masing-masing menerima wang tunai RM1,000, cenderamata dan sijil penyertaan.
Sementara itu, tempat ketiga bagi kategori qari dimenangi Zulkifly Mohamed Adnan dari Kampung Chalok Lama dan bagi kategori qariah disandang Farah Aina Mohd Ghazali dari Kampung Ladang Bari.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim yang diiringi ADUN Permaisuri, Mohd Yusop Majid, Pegawai Daerah Setiu, Yuzaini Amir Mohd Nor dan Pegawai Agama Daerah Setiu, Ustaz Kamal Mamat.
Tilawah tersebut menjadi wadah memperkukuh syiar Islam di daerah ini, di samping mengangkat martabat al-Quran sebagai panduan hidup masyarakat.