Home Berita PAS Pahang

Muara tertimbus – risiko banjir kilat di Balok makin meningkat

26
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 13 Feb – Laluan air ke laut di muara berhampiran kawasan Balok Maju, Balok Sejahtera, dan De Rhu Beach Resort dilaporkan tertimbus.

Menurut Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, YB Dato’ Andansura Rabu, tinjauan beliau ke lokasi berkenaan pada hari semalam mendapati paras air dalam saliran kawasan tersebut berada pada tahap tinggi, sekali gus meningkatkan kebimbangan penduduk.

“Muara ini penting untuk sistem saliran kawasan perumahan dan perniagaan di sekitarnya. Jika hujan lebat turun, ada kemungkinan air akan melimpah dan menyebabkan banjir kilat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada hari ini..

Beliau yang juga sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang menjelaskan bahawa, muara tersebut berkemungkinan tertimbus akibat ombak besar sepanjang musim tengkujuh akhir tahun lalu.

Sebagai langkah segera, beliau akan berhubung dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengusulkan tindakan penyelenggaraan untuk memastikan aliran air kembali lancar dan risiko banjir dapat dikurangkan.

Tambah beliau, penduduk sekitar dinasihatkan untuk berjaga-jaga, terutama dalam menghadapi cuaca tidak menentu yang masih berpotensi membawa hujan lebat.