KUALA NERUS – Gandingan wakil rakyat dan penduduk di Batu Rakit yang berpadu tenaga menghadapi hakisan berjaya menyelamatkan beberapa buah rumah termasuk sebuah banglo biru yang hampir runtuh ditelan ombak.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan & NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, gotong-royong menahan ombak dilakukan bersama penduduk termasuk seorang usahawan jentera ‘excavator’ dan lori-lori tanah.
Katanya, dua individu yang dikenali sebagai Aem dan Keba telah menghubunginya untuk mendapatkan sokongan bagi melaksanakan kerja gotong-royong menyelamatkan kediaman serta kawasan yang terjejas akibat bencana terbabit.
“Turut melibatkan Pengerusi JPKK setempat, JPKK Kg Pengkalan Maras, JPKK Kg Kolam dan JPKK Kg Tanjung Pantai juga terlibat secara langsung dalam semua kerja-kerja ini sebagai usaha membantu penduduk terjejas.
“Kerja-kerja gotong royong ini dilaksanakan kerana kesukaran untuk mendapatkan kelulusan kerja-kerja kecemasan melalui pihak JPS ekoran tatacara kewangan yang telah diperkenalkan oleh pihak MOF (Kementerian Kewangan).
“Usaha-usaha melalui JPS dan Kerajaan Persekutuan ini gigih diusahakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit dan Ahli Parlimen Setiu. Walaupun begitu, untuk menunggu semua ini tentunya tidak terjamin dalam keadaan ombak besar terus melanda,
“(Maka) usaha untuk melaksanakan gotong royong ini antara pilihan yang ada bagi meminimakan kesan terhadap beberapa buah rumah dan kawasan tanpa sempat untuk berpolitik terhadap isu-isu ini, tetapi memberikan fokus dalam meminimakan impak buat penduduk,” ujarnya.
Beliau berkata demikian melalui suatu kenyataan di facebook rasminya, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Hishamuddin berkata kerja asal dilakukan adalah untuk menyelamatkan Tanah Perkuburan Kg. Pengkalan Maras dan beberapa buah rumah penduduk yang berhampiran serta sebuah bengkel.
“Insya-Allah, usaha-usaha lain akan dilaksanakan oleh semua pihak untuk membantu penduduk dan pengusaha yang mencari rezeki di tempat terjejas.
“Saya difahamkan Ahli Parlimen Setiu sedang mengaturkan pertemuan bersama semua pengusaha perniagaan terjejas dalam minggu ini bersama pelbagai agensi kerajaan untuk meneliti usaha-usaha membantu kembali.
“Pejabat Daerah Kuala Nerus juga sedang aktif mengumpulkan data-data berkaitan,” jelas beliau.