Home Berita PAS Pusat

Muafakat Nasional Terus Kukuh Memandu Halatuju Politik Malaysia

927
SHARE

MUAFAKAT NASIONAL TERUS KUKUH MEMANDU HALATUJU POLITIK MALAYSIA

1. Seminggu dua ini pelbagai pihak berterusan melontarkan persoalan ingin tahu tentang masa depan Muafakat Nasional (MN), yang dipelopori bersama oleh PAS dan UMNO dengan dukungan semua pihak yang cintakan agenda penyatuan ummah. Mereka ingin tahu, di manakah posisi MN di tengah-tengah kemelut pertembungan UMNO dan BERSATU, malah persoalan yang lebih besar ialah di mana posisi MN dalam menghadapi PRU ke-15?

2. Sememangnya nama MN dilihat tenggelam timbul disebabkan politik Malaysia yang sering bergolak sehingga kestabilan politik negara ini sering tergugat. Kedudukan MN sebagai gagasan penyatuan ummah yang sepatutnya melampaui politik kepartaian, bagaimanapun turut dipengaruhi oleh kemelut politik semasa disebabkan umur MN yang tersangat muda. Setelah lebih setahun penubuhannya, MN memerlukan satu pelan halatuju yang mantap ke arah mencorakkan politik nasional di masa depan.

3. Sepertimana yang termaktub di dalam Piagam Muafakat Nasional, kedua-dua parti politik utama yang mewakili kaum majoriti di Malaysia, PAS dan UMNO, berkewajipan untuk mempertahankan tonggak Perlembagaan Persekutuan yang menjadi teras kenegaraan Malaysia dan memperkasakan agenda Islam, Melayu dan Bumiputera tanpa mengenepikan keadilan kepada semua rakyat. Menyedari betapa besarnya tanggungjawab ini, MN tidak mungkin akan tergugat dengan kemelut politik semasa hari ini.

4. Sehubungan dengan itu, saya (bagi pihak PAS) dan Dato Seri Zambry Abdul Kadir (bagi pihak UMNO) bersama beberapa lagi pimpinan dari kedua-dua parti telah diamanahkan merangka pelan halatuju MN untuk dikemukakan kepada Jawatankuasa Perunding MN dan kemudiannya diangkat kepada parti masing-masing. Saya percaya pelan halatuju itu nanti akan memperkasakan MN seterusnya menjadikan MN sebagai gagasan berpengaruh mencapai agenda penyatuan ummah dan kesejahteraan negara.

5. Saya percaya pemerkasaan MN ini tidak akan disenangi oleh pihak-pihak tertentu yang mengharapkan agenda penyatuan ummah ini gagal, sekaligus membuka ruang kepada mereka untuk mendominasikan politik negara. Agenda pecah dan perintah golongan ini mungkin telah berjaya memperkotak-katikkan solidariti parti-parti politik yang mewakili kaum majoriti semasa PRU ke-14 yang lalu, tetapi saya yakin agenda mereka untuk tujuan yang sama menjelang PRU ke-15 ini akan menemui kemusnahan.

6. Sebagaimana seruan Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, saya mengharapkan pemimpin-pemimpin politik Islam dapat merapatkan saf dan menyedari bahawa bahaya akan datang sekiranya kita bersengketa. Ia juga selaras dengan Piagam Muafakat Nasional yang menuntut kita semua memperkukuhkan amalan musyawarah, dan dengan izin Allah swt perselisihan yang berlaku dapat ditangani dengan amalan tersebut.

Dr Mohd Zuhdi Marsuki
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Ahli Jawatankuasa Perunding Muafakat Nasional

3 Januari 2020
19 Jamadilawal 1442