Home Berita PAS Wilayah

Muafakat Nasional Labuan Puji Agong, Ucap Tahniah Menteri Baharu

1305
SHARE

Oleh: Jenno Jamil

LABUAN, Rabu – Muafakat Nasional (MN) Labuan iaitu PAS dan UMNO telah membuat sidang media bersama pengamal media buat pertama kalinya di sini kelmarin.

Antara yang hadir adalah Yang Dipertua PAS Kawasan Labuan, Hj. Hamir Hj. Zahari, Ketua bahagian UMNO Labuan, YB Senator Datuk Hj. Bashir Bin Hj. Alias, Ketua Bahagian MCA Labuan, Datuk Chin Hon Vui serta ahli – ahli kepimpinan tertinggi PAS dan UMNO yang lain.

MN Labuan memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan keizinanNya kemelut politik negara selesai dengan aman dan menjunjung kasih dan merafak sembah kehadapan KDYMM Seri Paduka Baginda yang Di-Pertuan Agong atas ketegasan dan kebijaksanaan Baginda dalam menyelesaikan kemelut politik negara yang berlaku sebelum ini amat terpuji.

Sekalung tahniah pihak MN Labuan ucapkan kepada YAB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin Bin Hj Muhammad Yassin diatas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang Ke-8 oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada 1 Mac 2020 seterusnya telah berjaya membentuk Jemaah Menteri Kabinet.

MN Labuan turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan selamat bertugas di Kementerian Wilayah Persekutuan kepada YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar Bin Haji Musa diatas pelantikan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan YB Dato’ Sri Dr. Santhara Kumar A/L Ramanaidu di atas pelantikan sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan.

Diharapkan Menteri Wilayah yang baharu mampu menggalas tanggungjawab dalam meningkatkan ekonomi dan membela nasib rakyat khususnya di Labuan serta memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian rakyat yang berbilang kaum dan agama.