Home Berita PAS Wilayah

Muafakat Nasional jamin, hormat kebebasan beragama

652
SHARE

KUALA LUMPUR: Masyarakat bukan-Islam tidak perlu bimbang apabila PAS memerintah, kebebasan mereka mengamalkan ajaran agama tetap terjamin dan dihormati tanpa dipaksa untuk menukar kepercayaan supaya menganut Islam.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, bahkan menerusi pemerintahan PAS di Kelantan membuktikan pemeliharaan hak rakyat bukan-Islam antaranya turut memberi pembiayaan kepada pelajar yang memasuki universiti.

Tegasnya, tidak dibezakan rakyat sama ada keturunan Melayu, Cina, India dan Siam, mahupun beragama Islam atau bukan-Islam, bahkan dapat dilihat di negeri itu terdapat tiga patung Buddha antara terbesar di Asia Tenggara dan terkenal.

“Sampai hari ini kita tidak gerak (kejut) dia bangun, duduk situlah (The Sleeping Buddha), tak usik. Ada pula The Sitting Buddha di Tumpat dan The Standing Buddha di Bachok. Dari laut lagi boleh nampak. Ini menunjukkan kebebasan beragama,” ujarnya.

Beliau mengupas perkara tersebut semasa berucap pada Ceramah Perdana Muafakat Nasional Wilayah Persekutuan di Bandar Tun Razak, di sini kelmarin dahulu.

Akuinya, walaupun pentadbiran yang ada tidak sempurna, tetapi sama sekali tidak akan menzalimi orang bukan-Islam, bahkan hak-hak dalam agama dan budaya mereka akan terus kekal dihormati sebagaimana Rasulullah lebih dahulu menunjukkan teladan.

“Atas dasar inilah PAS sejak dahulu tawarkan Islam sebagai dasar kerajaan. Kerana kalau letak kepentingan bangsa melebihi keadilan, kita akan gaduh sampai bila-bila. Tetapi dengan dasar yang adil untuk semua, tidak akan ada kaum yang mempersoalkan.

“Jadi jangan takut dengan Muafakat Nasional yang telah buktikan orang bukan-Islam tidak dipinggirkan,” ujarnya mengimbas usaha bersama memenangkan calon MCA di Tanjung Piai.

Beliau juga menyatakan bahawa dasar Sekular selama inilah yang menyebabkan negara menghadapi pelbagai masalah, kepincangan dan keburukan, tetapi mesti dibetulkan menerusi Muafakat Nasional. – HARAKAHDAILY 4/2/2020

Muafakat Nasional jamin, hormat kebebasan beragama