Home Berita PAS Sabah

Muafakat dan kerjasama demi kesejahteraan Sabah

804
SHARE

Janira Ain Abu Bakar
8 September 2020

PUTATAN: Sabah merupakan sebuah negeri yang berpotensi besar untuk dibangunkan, khususnya dari aspek perikanan, tanaman, komoditi seperti koko dan sebagainya. Peruntukan akan disalurkan dari semasa ke semasa supaya Sabah mampu berdaya saing dan terus membangun.

“Dalam memastikan kelancaran (proses) menyalurkan segala insentif dan peruntukan tersebut, rakyat perlu memilih kerajaan negeri yang boleh melaksanakan (dengan baik), selaras dengan aspirasi kerajaan persekutuan.”

“Percanggahan antara kedua pihak tersebut mungkin menyebabkan bantuan tersekat oleh kerenah birokrasi pada peringkat negeri, lalu rakyat yang terpaksa menanggung kesan dan terus ketinggalan.”

Demikian ucapan Dato’ Haji Che Abdullah Mat Nawi, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan ketika menghadiri Kupi-Kupi Kampung Contoh yang dianjurkan oleh PAS Kawasan Putatan pada Sabtu lalu di Markas Cawangan UMNO PDM Kg. Contoh.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 2 turut mengingatkan tentang kerosakan yang telah dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), sepanjang 22 bulan memegang tampuk pentadbiran.

“Kita melihat bagaimana sebelum ini PAS sentiasa berfikir untuk berkongsi kuasa apabila memenangi negeri Kelantan. Terdapat antikan politik dari kalangan bukan Melayu, bukan Islam, serta bukan ahli PAS demi menjaga kebajikan rakyat bukan Islam dan bukan Melayu. Sebaliknya, PH berusaha bersungguh-sungguh menghakis hak dan kuasa orang Islam, orang Melayu dan bumiputera,” ulasnya.

Tambahnya lagi, satu contoh paling jelas, bagaimana PH pada waktu itu menafikan bantahan oleh sejuta orang Islam yang berhimpun di Kuala Lumpur bagi membantah ratifikasi ICERD. Minggu seterusnya, Menteri Perpaduan ketika itu malah membuat kenyataan di Parlimen bahawa proses konsultasi ratifikasi akan dimulakan pada suku kedua tahun 2019.

Walau bagaimanapun, usaha meratifikasi ICERD gagal apabila Tun Mahathir Muhammad menolak atas faktor bantahan oleh orang Melayu dan Islam.

Justeru, beliau meletakkan harapan kepada rakyat Sabah supaya memilih kerajaan yang sama seperti kerajaan persekutuan. Beliau juga menegaskan bahawa dalam perancangan Belanjawan Negara 2021, antara perkara yang diberi perhatian adalah penekanan terhadap keseimbangan pembangunan antara wilayah.

Beliau sempat merakamkan penghargaan kepada UMNO yang memberi laluan menggunakan markasnya untuk program PAS selaku rakan muafakat, sambil menyifatkan penganjuran majlis secara kerjasama yang harmoni antara PAS dan UMNO merupakan satu keadaan yang sangat baik dan ukhuwah yang sangat indah.

Turut hadir dalam majlis ialah Dr. Aliakbar Gulasan, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Sabah, Ustaz Zulzaim Hilmee Abidin, Ketua Pemuda PAS Sabah, Ustaz Muhammad Akmal Othman, Yang Dipertua PAS Kawasan Putatan, Yusrizal Anuar, Ketua Cawangan PAS Kg Contoh, Fatmahyati Dullah, Setiausaha Pusat Daerah Mengundi UMNO PDM Muhibbah dan Adizal Diman, Ketua cawangan UMNO Tanah Runtuh.

Majlis diserikan dengan acara penyampaian sumbangan kepada 30 orang penerima daripada kalangan ahli masyarakat yang miskin, orang kelainan upaya, sakit, warga emas, ibu tunggal dan anak yatim.