Home Berita PAS Terengganu

MTD Wakaf Mempelam Bentuk Jentera Kuat Hadapi PRU16

5
SHARE

Oleh: Azizah Mahmood

KUALA TERENGGANU – Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Wakaf Mempelam kini bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) menerusi pelantikan barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) baharu bagi sesi 2025–2027.

Pengarahnya, Dato’ Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pemilihan AJK kali ini dibuat secara teliti berdasarkan keperluan jentera pilihan raya yang kukuh dan berstrategik.

“Sebagaimana dalam sebuah ketumbukan tentera, pemilihan dibuat daripada kalangan yang memiliki ilmu, kecekapan dan kekuatan berdasarkan kehendak pemimpin.

“Begitu juga jentera DUN, ia dibentuk khusus untuk menghadapi cabaran PRU16 dan dipilih mengikut kriteria tertentu,” jelasnya.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT)berkata demikian ketika dihubungi pada hari ini.

Dato Wan Sukairi turut menegaskan bahawa mereka yang tidak tersenarai bukanlah tidak layak, tetapi jumlah pelantikan yang terhad memerlukan pemilihan bersasar.

Menurutnya, mereka yang tidak dilantik masih memegang peranan penting sebagai petugas parti dalam usaha mempertahan dan memperkukuh gerak kerja PAS di peringkat akar umbi.

“Harapan saya agar pemilihan ini tepat, dan semua yang dilantik dapat memikul amanah dengan baik demi memastikan kemenangan terus kekal di N13 Wakaf Mempelam,” katanya.

Beliau menambah, mesyuarat turut mengekalkan Datuk Haji Ahmad Amzad sebagai Timbalan Pengarah 1 dan Alghazali Abu Bakar sebagai Timbalan Pengarah 2.

Seramai 31 ketua cawangan yang mewakili 12 Unit Daerah Mengundi (UDM) hadir bersama ketua-ketua sayap Ulama, Pemuda, Muslimat dan Ameerah dalam mesyuarat berkenaan yang berlangsung dengan harmoni dan penuh muafakat.