HULU TERENGGANU – Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Telemong terus menunjukkan komitmen terhadap kebajikan rakyat dengan meninjau cadangan baik pulih sebuah rumah di Kampung Payang Kayu.
Pengerusinya Encik Safari Abu, berkata, kunjungan ini bertujuan mengenal pasti keperluan baik pulih rumah bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan pihaknya.
“Rumah yang dikunjungi merupakan kediaman sebuah keluarga yang memerlukan perhatian segera untuk memastikan keselamatan dan keselesaan mereka, terutama menjelang musim tengkujuh.
“Kami berusaha memastikan semua pihak yang memerlukan bantuan akan diberi perhatian sewajarnya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Kampung Payang Kayu, Telemong, pada 1 Januari lalu.
Menurutnya, usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen pihak MTD Telemong untuk membantu rakyat dalam menangani isu-isu kebajikan dan keperluan asas.
Turut hadir sama Pembantu Kebajikan Dun Telemong, Izmi Ilis dan wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Payang Kayu, Zulkefle.
Justeru itu, beliau berharap agar proses ini dipermudahkan dan mendapat kerjasama penuh daripada semua pihak berkaitan.
“Langkah ini juga dilihat sebagai manifestasi semangat gotong-royong dan keprihatinan masyarakat setempat dalam menjaga kebajikan komuniti,” katanya.
Sementara itu, wakil JPKK Kampung Payang Kayu, Zulkefle turut menyatakan rasa syukur atas perhatian yang diberikan oleh pihak MTD Telemong.
Beliau yakin usaha sebegini akan membantu memperkukuhkan hubungan antara rakyat dan pemimpin tempatan.
“Semoga urusan baik pulih rumah ini dipermudahkan, seterusnya memberikan sinar harapan kepada keluarga yang memerlukan,” tambah beliau lagi.