Oleh : Dhiya’ Muttmainnah
16 Februari 2021
BATU : Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Parlimen Batu telah menyempurnakan agihan sumbangan Bakul Makanan kepada golongan bersasar di sekitar Taman Sentul Utama dan Pangsapuri Sentul Utara, baru-baru ini.
Bakul Makanan tersebut adalah sumbangan daripada Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), MPP Parlimen Batu dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Al-Mannar.
Ia merupakan satu inisiatif bersasar buat golongan B40 dan mereka yang terjejas akibat pendemik Covid-19 di Wilayah Persekutuan.
Sumbangan adalah berupa barangan keperluan harian seperti beras, tepung, minyak masak dan sebagainya.
Hadir menyampaikan sumbangan Bakul Makanan kali ini adalah Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya DBKL yang juga Pengarah Kanan Sektor Pembangunan Ummah Dan Wanita Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Ustaz Azhar Yahya.
Proses pengagihan Bakul Makanan ini juga telah dilaksanakan dalam tempoh yang singkat dan di tempat yang berpusat mengikut zon bagi sama-sama menjaga garis piawaian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berlangsung.
Turut hadir dalam program tersebut adalah adalah Pengerusi MPP Batu Sub Zon 2, Abu Bakar Abd Rahman.
Menurut Ustaz Azhar Yahya dalam ucapannya, sumbangan berkala ini adalah langkah prihatin pihak pentadbir dalam meringankan beban kesusahan yang dialami oleh golongan yang memerlukan dan akan diteruskan jika masih ada peruntukan.
“Moto ‘Batu Sejahtera’ benar-benar akan dibumikan seiring dengan langkah prihatin dan proaktif pihak berkuasa terhadap penduduk di Parlimen Batu ini,” tambah beliau.
Dalam majlis berbeza, Ustaz Azhar juga telah menyampaikan sumbangan Bakul Makanan kepada lebih 100 buah keluarga yang menetap di Kampung Batu Muda, PPR Pekan Batu, PPR Taman Wahyu dan Taman Desa Bakti.