KUALA LUMPUR, 23 Julai – Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, menegur kerajaan Persekutuan agar tidak sekadar menggubal undang-undang baharu tanpa memastikan keberkesanan pelaksanaannya, ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat semalam.
Menurut beliau, meskipun RUU itu digambarkan sebagai langkah ke hadapan, realitinya ramai pemberi maklumat terus berdepan tekanan politik, ugutan dan tindakan balas, khususnya apabila pendedahan mereka melibatkan individu berkuasa atau berkepentingan dalam pentadbiran.
“Undang-undang tidak akan bermakna jika penguatkuasaan terpilih dan keberanian rakyat dipatahkan oleh ancaman balas. Apa guna ‘perlindungan’ jika pengadu yang jujur pula diburu,” soal beliau, sambil menggesa kerajaan memastikan mekanisme penguatkuasaan bebas dan tidak tunduk kepada pengaruh politik.
Wan Hassan turut menekankan keperluan memastikan ketelusan dalam menilai kesahihan maklumat daripada ‘whistleblower’ agar tidak disalah guna untuk menutup pendedahan sebenar, satu kelemahan yang menurutnya masih wujud dalam sistem sedia ada.
Beliau menutup perbahasan dengan mengingatkan Ahli Dewan akan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 48, mengenai hari pembalasan, di mana tiada sesiapa dapat melindungi orang lain, dan tiada syafaat atau tebusan yang mampu menyelamatkan mereka yang mengkhianati amanah.
“Jika dunia gagal melindungi yang benar kerana kepentingan kuasa, ingatlah bahawa keadilan Allah SWT tidak boleh diputar belit,” tegasnya.