Home Berita PAS Terengganu

MP Besut suarakan kebimbangan cadangan luaskan PKW kepada pesalah jenayah berat

9
SHARE

KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh menyuarakan kebimbangan mengenai cadangan kerajaan bagi meluaskan pelaksanaan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) sehingga melibatkan pesalah jenayah berat menerusi pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perintah Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 2025 yang dibahaskan di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap pindaan Seksyen 5(1) RUU itu kerana memperuntukkan kelayakan PKW kepada pesalah yang berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun, berbanding sebelum ini yang hanya terhad kepada kesalahan ringan.

“Kalau dulu PKW hanya untuk kesalahan kecil, sekarang nak diperluas sampai melibatkan cubaan membunuh bawah Seksyen 307 dan kes keselamatan bawah Seksyen 130ZA Kanun Keseksaan. Ini pindaan yang terlalu drastik,” tegasnya.

Katanya lagi, langkah tersebut bukan sahaja boleh menjejaskan prinsip keadilan, malah turut berisiko melemahkan elemen pencegahan dalam sistem perundangan negara. Katanya, konsep zajr atau pencegahan dalam Islam amat penting dalam memastikan sesuatu hukuman memberi kesan mendidik dan memberi pengajaran kepada pelaku jenayah.

Beliau turut mempertikaikan kewajaran menjadikan PKW sebagai pengganti sepenuhnya kepada hukuman penjara, denda atau penalti lain, walaupun memahami keperluan kerajaan mengurangkan kadar kesesakan penjara.

“Kalau PKW dilaksana sebagai ganti sepenuhnya, ia boleh melemahkan elemen pengajaran dan pembalasan. Dalam banyak kes jenayah, ada mangsa. Kita tak boleh abaikan hak moral mereka untuk mendapat keadilan,” katanya.

Jelasnya lagi, sebarang pelaksanaan PKW perlu seimbang dengan prinsip islah atau pemulihan, dan tidak boleh terlalu ringan sehingga menafikan hak mangsa.

Beliau mencadangkan agar pelaksanaan PKW dilakukan sebagai sebahagian daripada hukuman campuran, contohnya dengan mewajibkan pesalah menjalani tempoh minimum penjara terlebih dahulu sebelum dipertimbangkan untuk PKW sebagai fasa pemulihan.

Selain itu, Che Mohamad Zulkifly turut mencadangkan agar program PKW merangkumi modul pendidikan, kaunseling serta bimbingan agama khususnya kepada pesalah Muslim, dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.

Pendekatan menyeluruh ini katanya akan memastikan prinsip keadilan Islam yang menyeimbangkan antara pencegahan dan pemulihan benar-benar diterapkan.

Beliau turut mempersoalkan sejauh mana keberkesanan pelaksanaan PKW sejak ia diperkenalkan, termasuk status pusat-pusat PKW yang diwujudkan.

Menurut beliau, pada tahun 2022, Ketua Pengarah Penjara pernah memaklumkan bahawa hanya terdapat 52 pusat PKW.

“Sekarang dah tiga tahun, berapa yang telah dibina? Dah capai sasaran 100 pusat ke belum? dan adakah kesesakan penjara benar-benar satu isu berskala nasional, atau hanya tertumpu kepada negeri-negeri tertentu?,” soalnya.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu mengemukakan data dan statistik rasmi bagi menyokong pindaan undang-undang ini agar ia tidak dilihat sebagai tergesa-gesa tanpa asas yang kukuh.

Menutup ucapannya, beliau secara berseloroh menyentuh perhimpunan aman yang dianjurkan pembangkang baru-baru ini sambil memuji perubahan pendekatan yang ditunjukkan para peserta.

“Alhamdulillah, tidak berlaku kereta terbalik, tidak disembur ‘water canon’. Kita telah mendidik mereka untuk berdemonstrasi secara aman,” katanya.

Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai tanda kematangan demokrasi dalam kalangan rakyat dan berharap ia menjadi contoh kepada semua pihak yang mahu menyuarakan pandangan secara tertib dan bertanggungjawab.