Home Berita PAS Terengganu

MP Besut persoal janji hapus tol

11
SHARE

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, hari ini mempersoalkan kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam menunaikan janji penghapusan tol yang pernah dilaungkan sebelum pilihan raya.

Kata beliau, janji untuk menghapuskan tol yang pernah dibuat sebelum ini memberi kesan terhadap sokongan rakyat, khususnya dalam konteks keprihatinan terhadap kos sara hidup.

“Pernah tak kita dengar janji-janji nak hapuskan tol dahulu? Apa kesannya? Adakah janji itu memberi kesan kepada sokongan rakyat kerana dianggap sebagai tanda keprihatinan terhadap beban rakyat?,” soal beliau.

Beliau turut membangkitkan persoalan lanjut berhubung kesan sekiranya tol benar-benar dimansuhkan, sama ada pada masa lalu atau kini.

“Tadi kita bercakap soal kenaikan tol. Sekarang saya ingin tanya pula kalau tol dimansuhkan, sama ada dulu atau sekarang, apa pula kesannya?,” tambah beliau.

Menjawab soalan tersebut, Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi menjelaskan bahawa penghapusan tol bukanlah satu keputusan mudah memandangkan kerajaan memerlukan peruntukan yang besar untuk menampung kos penyelenggaraan lebuh raya yang mencecah berbilion ringgit.

Menurut beliau, kerajaan juga perlu mengambil kira keadilan terhadap rakyat di negeri-negeri seperti Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak yang tidak menikmati jaringan lebuh raya bertol secara langsung.

Namun demikian, jawapan tersebut menimbulkan persoalan tentang kesungguhan kerajaan menunaikan janji hapuskan tol yang terkandung dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

Ini sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada janji itu dibuat berasaskan kemampuan yang realistik atau sekadar strategi untuk meraih sokongan politik semasa pilihan raya.